CERPEN: SEBUTIR
PASIR DI KAKI
Cerpen ini mengisahkan seorang pemuda yang bernama Fuad.
Dia berasa marah apabila mendapati geran tanah pusaka milik keluarganya
diambil oleh Datuk Sukar, iaitu bapa kekasihnya. Fuad marah kerana
kejadian itu berlaku ketika dia berada di Singapura. Dia mengambil
keputusan untuk berjumpa dengan Datuk Sukar untuk meminta geran tanah
tersebut semula. Fuad bersemuka dengan orang kaya itu dan Datuk Sukar
menjelaskan bahawa tanah itu akan dijadikan tapak kilang tekstil oleh
sebuah syarikat dari Hong Kong. Datuk Sukar menyatakan bahawa tauke Ban
Heng hendak memajukan tanah tersebut secara usaha sama dengan tujuan
untuk memanfaatkan tanah tersebut. Walaupun Fuad akan memperoleh RM280
ribu sebagai harga tanah tersebut, dia tetap menolaknya. Akhirnya Datuk
Sukar menyarahkan geran tersebur kepada Fuad tetapi dia telah menghalau
Fuad dari rumahnya, memecatnya dari jawatannya serta memutuskan
hubungannya dengan Junainah, malah mengharamkan Fuad daripada
menjejakkan kaki di rumahnya.
Cerpen ini bertemakan kesungguhan seorang anak muda dalam mempertahankan
haknya. Fuad dengan tegasnya enggan menjual tanahnya sebaliknya berusaha
untuk mendapatkan geran tanahnya semula daripada Datuk Sukar. Ketegasan
Fuad harus diambil iktibar oleh semua orang supaya dapat menyelamatkan
harta pusaka mereka dan tidak mudah ditipu. Persoalan yang timbul
selepas membaca cerpen ini ialah tipu helah dan putar belit hartawan
dalam usaha hendah merampas harta orang lain. Datuk Sukar sebenarnya
membuat rancangannya untuk merampas harta pusaka Fuad dengan memberinya
kerja dan merestui hubungan cinta antara Fuad dengan anaknya. Selain itu,
kecintaan terhadap tanah pusaka melebihi cinta terhadap seorang gadis
juga merupakan salah satu persoalan yang termuat dalam cerpen ini. Fuad
rela memutuskan hubungan dengan kekasihnya daripada menyerahkan tanah
pusaka milik keluarganya.
Plot cerpen ini disampaikan secara kronologi. Eksposisi cerpen ini cuba
memaparkan watak Fuad yang marah apabila tanahnya hendak diambil oleh
Datuk Sukar. Fuad pergi ke rumah Datuk Sukar untuk berbincang dengan
orang kaya itu pada peringkat perkembangan. Pada peringkat perumitan
pula, Fuad enggan bertolak ansur dengan Datuk Sukar untuk menjual tanah
tersebut. Klimaks cerpen ini mengisahkan kemarahan Datuk Sukar. Datuk
Sukar pengsan pada peringkat peleraian. Selain itu, pelbagai teknik plot
digunakan oleh pengarang ketika mengembangkan cerpen ini. Antaranya
termasuklah teknik imbas kembali. Sebagai contohnya, Fuad mengenang
kembali pertemuannya dengan Junainah di halaman rumah Junainah. Secara
keseluruhannya, plot kronologi ini disusun mengikut urutan, iaitu waktu
dan peristiwa yang berlaku dahulu akan didahulukan manakala yang berlaku
kemudian akan dikemudiakan.
Cerpen ‘Sebutir Pasir di Kaki’ ini telah didukung oleh beberapa watak
yang menarik. Watak utamanya ialah Fuad. Fuad merupakan anak bongsu
daripada dua adik-beradiknya. Dia berusia 27 tahun dan masih bujang. Dia
merupakan pekerja Datuk Sukar, iaitu bapa kekasihnya. Fuad merupakan
seorang yang tegas. Ini dapat dilihat apabila dia tetap tidak mahu
menjual tanah pusaka walaupun ditawarkan harga yang tinggi. Dia juga
berani kerana sanggup berjumpa dengan Datuk Sukar untuk mendapatkan
penjelasan tentang penyerahan geran tanah oleh ibunya. Selain itu, Datuk
Sukar juga merupakan salah satu watak dalam cerpen ini. dia merupakan
usahawan yang berjaya dan memiliki kekayaan. Datuk Sukar suka mengambil
peluang terhadap orang lain. Hal ini telah dibuktikan apabila dia
meminta ibu Fuad untuk menandatangani surat penjualan tanah semasa Fuad
berada di Singapura.
Latar tempat dalam cerpen ‘Sebutir Pasir di Kaki’ ialah rumah Fuad dan
di kawasan rumah Datuk Sukar, iaitu di dalam dan di luar rumahnya.
Selain itu, maktab perguruan dan Dewan Negeri turut menjadi latar tempat
dalam cerpen ini. Masyarakat peniaga merupakan latar masyarakat cerpen
ini. Golongan peniaga diwakili oleh Datuk Sukar dan tauke Ban Heng.
Seterusnya, latar masyarakat cerpen ini ialah masyarakat yang tamak.
Datuk Sukar mahu memiliki tanah pusaka kepunyaan keluarga Fuad walaupun
dia memiliki banyak harta. Latar masa cerpen ini pula adalah pada waktu
petang, waktu Maghrib dan waktu malam.
Cerpen ‘Sebutir Pasir di Kaki’ mempunyai beberapa nilai dan pengajaran
yang patut menjadi teladan dalam kehidupan semua orang. Antara nilai
yang ada dalam cerpen ini ialah nilai kasih sayang. Nilai ini
digambarkan melalui watak Fuad yang sayang akan ibunya dan kekasihnya,
Junainah. Selain itu, watak Fuad juga menggambarkan nilai keberanian.
Sebagai contohnya, dia berani menentang tindakan Datuk Sukar meskipun
Datuk Sukar merupakan majikannya. Pengajaran dalam cerpen ini ialah kita
mestilah berani mempertahankan hak kita. Fuad berani mempertahankan
tanah pusaka keluarganya daripada diambil oleh Datuk Sukar. Pengajaran
lain ialah kita hendaklah menghindarkan sikap mementingkan diri. Datuk
Sukar mementingkan diri dan tidak berunding dengan Fuad terlebih dahulu
sebelum bertindak mengambil tanah tersebut.
Kesimpulannya, cerpen ini memberikan manfaat kepada penbaca. Nilai
keberanian yang terpapar dalam cerpen ini dapat dijadikan teladan untuk
segenap lapisan masyarakat. Nilai mulia seperti kasih sayang terhadap
ahli keluaga mampu dijadikan teladan dalam kalangan remaja. Dengan
adanya sorotan karya ini, ibu bapa dan para remaja sedar akan
kepentingan menjaga hak keluarga mereka. Cerpen ini turut ditunjangi
penguasaan bahasa yang indah dan berkesan. Oleh itu, cerpen ‘Sebutir
Pasir di Kaki’ karya Norhisham Mustafa wajar dibaca oleh pelbagai
lapisan masyarakat.
|