Gerbang Maklumat BMSPM Di Hujung Jari Sejak Oktober 1998                                      

 

Karangan Bahagian B - Contoh perenggan 4 unsur

 
Aspek Yang Dinilai Dalam Karangan B:

 

a. Penilaian dibuat secara holistik berpandukan kriteria dan peringkat yang

    ditetapkan.

b. Penggunaan pelbagai jenis kata atau kosa kata yang luas dan tepat.

c. Penggunaan pelbagai ayat majmuk.

d. Ejaan dan tanda bacaan.

e. Penggunaan laras bahasa yang sesuai.

f . Idea yang relevan dengan tugasan dalam soalan yang diberikan.

g. Kematangan idea dan contoh yang sesuai.

h. Pengolahan yang menarik dan berkesan serta pemerengganan yang sesuai.

i.  Wacana yang lengkap dan ada kesinambungan idea.

j . Penggunaan unsur bahasa yang bervariasi.

k. Penggunaan gaya bahasa yang menarik dari segi keindahan bahasa dan

    penggunaan ungkapan seperti peribahasa, pantun, cogan kata atau frasa.

l . Format karangan

 

Contoh soalan karangan

 

Masalah sosial dalam kalangan remaja di negara kita sudah menjadi semakin serius sejak akhir-akhir ini. Pada pendapat anda bagaimanakah kita hendak membendung masalah ini daripada menjadi semakin buruk.

 

bagaimanakah kita hendak membendung masalah ini daripada menjadi semakin buruk = TUGASAN

 

Contoh Perenggan 4 Unsur

 

      Salah satu cara untuk membendung masalah sosial dalam kalangan remaja ialah peranan institusi keluarga. Institusi keluarga merupakan elemen yang rapat  dengan remaja. Sehubungan itu, hubungan yang rapat ibarat isi dengan kuku membolehkan institusi keluarga mengenali, mengawasi dan menasihati remaja. Selain itu, institusi keluarga hendaklah mewujudkan suasana harmoni di rumah kerana rumah merupakan asas kepada kehidupan berkeluarga. Sebarang bentuk pertengkaran hendaklah dihindarkan sebaliknya ketua keluarga mengambil langkah untuk merancang sesuatu yang membina kepada ahli keluarganya seperti bersembahyang dan makan bersama. Pakar motivasi Datuk Dr. Mohd Fadhillah Kamsah menyatakan institusi  keluarga merupakan entiti penting bagi mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja. Sejajar dengan itu, remaja sememangnya memerlukan perhatian maka, adalah penting bagi institusi keluarga untuk memainkan peranan yang utama agar masalah sosial dalam kalangan remaja dapat dibendung. Oleh itu, memang tidak dinafikan bahawa peranan institusi keluarga merupakan satu cara bagi membendung masalah sosial remaja.

 

 

Salah satu cara untuk membendung masalah sosial dalam kalangan remaja ialah peranan institusi keluarga = ISI UTAMA

 

elemen = KOSA KATA MENARIK

 

Sehubungan itu = PENANDA WACANA

 

ibarat isi dengan kuku = UNGKAPAN MENARIK

 

Selain itu = PENANDA WACANA

 

rumah merupakan asas kepada kehidupan berkeluarga = FRASA MENARIK

 

Pakar motivasi Datuk Dr. Mohd Fadhillah Kamsah menyatakan institusi  keluarga merupakan entiti penting bagi mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja = AYAT CONTOH

 

Sejajar dengan itu = PENANDA WACANA

 

Oleh itu, memang tidak dinafikan bahawa peranan institusi keluarga merupakan satu cara bagi membendung masalah sosial

remaja. = AYAT PENEGAS

 

 

2009 Zainudin bin Dirin

 
 

Sumber: http://www.cemerlangbm.com/spm_kertas1_b_ulasan.html

 

 

BMSPM 1998-2009. Hak Cipta Terpelihara. Pemberitahuan. Ke Menu Utama