Oleh Cikgu Ghalib menerusi Facebook.com 18 Oktober 2010, 8:55 mlm
FOKUS BMSPM 2010 - CERPEN SEBUTIR PASIR DI KAKI |
Oleh Cikgu Ghalib menerusi Facebook.com 18 Oktober 2010, 8:55 mlm
Baca petikan
di bawah dengan teliti dan kemudian
jawab soalan-soalan berikutnya
dengan menggunakan perkataan anda
sendiri.
Junainah? Fuad tidak dapat menafikan hubungan mesranya dengan Junainah. Sudah dua tahun dia mengenali gadis itu. Dan selama tempoh itu juga Fuad faham benar titik perasaannya terhadap Junainah. Dalam keadaan begitu pun, Fuad juga yakin, bukan dia saja yang bermain dengan mimpi. Junainah sendiri, gadis berusia 21 tahun, berambut panjang sampai ke pinggul, memiliki sepasang mata jeli, bermuka bulat, bertubuh tinggi lampai dan berkulit cerah itu, juga hampir tak sanggup lagi berlekang dengan Fuad. “Tapi aku hanya pekerja ayah kau Jun,” kata Fuad suatu hari, ketika mereka duduk-duduk di halaman rumah Junainah sambil menyedut udara harum dari percikan bau bunga di taman. “Kadang-kadang aku rasa terlalu ideal mimpi aku Jun,” tambah Fuad lagi. “Kau tahu Jun, kerja aku bukannya tetap. Nama saja penyelia, tapi apa sangatlah dipandang orang? Malah diberi kerja ini pun, kadang-kadang aku rasa semata-mata kerana ada belas ihsan daripada ayah kau.” Junainah menggeleng cepat.
(i) Apakah bukti yang menunjukkan perhubungan Fuad dan Junainah sangat intim? [3 markah] Bukti yang menunjukkan perhubungan Junainah dan Fuad sangat intim ialah Fuad sendiri yang mengakui hakikat tersebut, memandangkan mereka telah berkawan selama dua tahun. Junainah sendiri sudah tidak boleh lagi berenggang dengan Fuad.
(ii) Pada pendapat anda, mengapakah Junainah menggelengkan kepalanya setelah mendengar kata-kata Fuad? [3 markah]
Pada pendapat saya, Junainah menggeleng-gelengkan kepalanya kerana tidak bersetuju dengan pandangan Fuad bahawa dia hanya berangan-angan memiliki Junainah. Fuad juga menyatakan bahawa dia tidak memiliki pekerjaan tetap. Junainah juga tidak bersetuju dengan anggapan bahawa pekerjaan Fuad sebagai penyelia tidak dipandang tinggi. Seterusnya, Junainah juga ingin menafikan pekerjaan Fuaz sekarang juga diperoleh dengan belas ihsan ayah Junainah.
(iii) Huraikan dua unsur gaya bahasa seperti yang terdapat dalam petikan dan dua gaya bahasa yang terdapat dalam cerpen. [3 markah] Dua unsur gaya bahasa dalam petikan di atas ialah sinkope dan metafora. Contoh sinkope ialah perkataan ‘kau’ iaitu kependekan kepada ‘engkau’, dan contoh metafora pula ialah ‘titik perasaan’. Dua gaya bahasa dalam cerpen ialah personifikasi dan simile. Contoh personifikasi ialah ‘malam semakin merangkak’ dan contoh simile pula ialah ‘Fuad berasa dirinya telah begitu dihina, seolah-olah dianggap macam sampah, macam daun kering...’
|
Terima kasih atas sumbangan bahan ini. |