Gerbang Maklumat BMSPM Di Hujung Jari Sejak Oktober 1998                                      

 

Sinopsis Novel Di Hadapan Pulau

Bab 1.

Aziz termenung di tepi laut. Dia terkenangkan ayahnya yang telah meninggal dunia dua bulan yang lalu dan ibu yang telah meninggalkannya. Dia juga tidak pernah melihat adiknya. Aziz tinggal dengan Mak Ciknya, Joyah. Aziz melihat pulau. Hatinya ingin pergi ke pulau tersebut. Tuk Marzuki telah berjanji untuk membawanya ke pulau tersebut tetapi janjinya masih belum ditunaikan.. Aziz menangis apabila terkenangkan ayahnya sambil berlari di pantai. Afidah membuat air kopi untuk datuknya, Tuk Marzuki. Tuk Marzuki sedih melihat cucunya menderita kerana penceraian kedua ibu bapanya.

Bab 2.

Ketika menunggu kedatangan rakan, Raihan memerhatikan kem tentera Australia. Raihan teringatkan rakannya Ridwan telah ke San Francisco dan Rahim pula telah keTokyo. Lamunan Raihan terganggu dengan kedatangan rakannya Zubir. Zubir menyatakan perang telah meletus tetapi belum melanda tanah air mereka. Mereka berbincang menjadi nelayan tetapi mereka tidak dibenarkan ke laut kerana takut terkena bom. Tambahan pula perang sudah bermula. Syed Fikri singgah di kedai sambil memerhatikan Aziz, Lazim dan Razip yang sedang bermain. Aziz dan rakan-rakan bersalaman dan mencium tangan Syed Fikri apabila mereka dihampiri Syed Fikri. Syed Fikri berasa sedih kerana Aziz dalam usia muda sudah yatim piatu. Syed Fikri menasihati Aziz dan rakan-rakan supaya jangan tinggal sembahyang. Masimah dan Basir datang membawa berita peperangan telah meletus.

Bab 3.

Penduduk kampung dilarang memasang lampu pada waktu malam. Setelah lima malam barulah Joyah dapat menyesuaikan diri dengan suasana gelap. Pada malam keenam, Bidin suami Joyah balik ke rumah dengan keadaan mabuk. Kesulitan mendapat makanan mula dirasai penduduk kampung. Ramai yang membeli dan mula menyimpan makanan. Aziz teringat pesanan gurunya supaya berjimat cermat, jangan memasang lampu dan masuk ke shelter apabila seren dibunyikan. Tentera mengadakan sekatan di jambatan di kampung Aziz. Beras naik harga dan sukar diperoleh. Siren kecemasan sering dibunyikan bagi melatih penduduk menyelamatkan diri. Tuk Marzuki dan Dorani pergi ke Merlimau untuk mendapatkan beras dan gula. Raihan dan Zubir pula mencari kerja di kem tentara. Aziz dan Afidah berbual-bual tentang perang. Aziz susah hati kerana Mak Cik Joyah sudah kehilangan pekerjaan.

Bab 4.

Peperangan semakin hampir. Kebimbangan mula meresapi jiwa penduduk.Syed Fikri teringat sepupunya Syed Zuhri yang suka menipu orang ketika berniaga dan berkahwin banyak tetapi tidak bertanggungjawab. Syed Fikri berazam terus beramal dan membimbing masyarakat ke jalan Allah. Dia ingin memberi pendidikan rohani kepada anak-anak yang diabaikan oleh ibu bapa mereka. Dia merancang ingin bercucuk tanam kerana perniagaan minyak atar dan batu akik tidak dapat sambutan dalam waktu peperangan. Pak Cik Budin Balik dalam keadaan mabuk lauu memukul Joyah, isterinya. Aziz sedih dengan sikap Pak Ciknya. Aziz teringat ayahnya yang penyayang dan berpesan supaya dirinya berusaha untuk hidup. Aziz ke rumah Syed Fikri pada awal pagi. Syed Fikri sedang mencangkul tanah untuk bercucuk tanam.

Bab 5.

Pihak tentera sibuk memperkemas kubu pertahanan. Kem tentera dilingkarkan dengan kawat duri dan ditimbunkan dengan kampit pasir sebagai tempat berlindung. Aziz dan Afidah menunggu Tuk Marzuki pulang dari Merlimau. Afidah tinggal sementara dengan Mak Ketong. Aziz duduk di bangku hadapan gerai yang sudah ditutup. Aziz merasakan bahawa dia perlu bekerja untuk menolong Mak Ciknya yang tidak bekerja. Raihan dan Zubir pula bimbang kerana masih tidak mempunyai pekerjaan. Afidah bimbangkan datuknya yang masih belum pulang lagi. Penduduk kampung mula bersesak di dalam shelter kerana mencari perlindungan.

Bab 6.

Sudah hampir tiga jam penduduk berlindung di dalam shelter tetapi masih belum terdengar bunyi siren untuk membenarkan mereka keluar. Peperangan belum meletus tetapi hidup semakin susah. Syed Fikri merasakan peperangan menyebabkan perniagaannya terjejas dan kegiatan berdakwah juga terjejas. Tiba-tiba orang di shelter dikejutkan dengan bunyi bom yang kuat. Aziz dan rakan-rakannya memerhatikan orang ramai yang berjalan dari arah bandar. Afidah datang memberitahu datuknya sudah pulang. Syed Fikri menyatakan penduduk bandar sudah mula berpindah. Dia menasihati kanak-kanak supaya sentiasa bersama keluarga. Syed Fikri berbincang dengan Dorani untuk membuka kelas agama di madrasah yang sudah terbiar. Taksiah pula mengajak Joyah bekerja di kem askar kerana seorang askar bernama Rahmat sudah mendapatkan pekerjaan untuk Joyah.

Bab 7.

Siren amaran semakin kerap berbunyi. Penduduk banyak menghabiskan masa di dalam shelter. Mak Ketong tidak mahu tinggal di dalam shelter kerana beliau berpendapat di mana-mana pun manusia akan mati. Beras yang dibawa dari Merlimau telah habis. Dia ingin mencari beras bersama-sama Dorani di kem askar. Tuk Marzuki terkenang semula akan kepulangannya ke Merlimau bukan sahaja untuk mencari beras tetapi mahu menyerahkan Afidah kepada Mustaffa. Malangnya Mustaffa telah berpindah dan meninggalkan Rukiah adiknya dalam keadaan nyanyuk. Kenengannya terhadap kampung asalnya Merlimau terhenti apabila Afidah membawakan air kopi untuknya. Seterusnya, shelter Tuk Marzuki kena bom. Afidah berlari sambil menangis dikuti Aziz dan orang-orang kampung. Dalam keadaan cedera parah Tuk Marzuki berpesan kepada Afidah supaya mencari Pak Cik Mustaffa dan Mak Cik Rukiah. Selepas itu Tuk Marzuki meninggal dunia. Afidah menziarah kubur datuknya pada awal pagi.Dia menangis dan Aziz yang berada bersama-sama dengannya turut menangis. Lazim turut berada di kubur dan mempelawa Afidah tinggal bersama-sama dengan kakaknya Wan Rohani atau tinggal di rumah Mak Ketong dan Mak Cik Joyah.

Bab 8.

Kem askar dibom dan penduduk mula berlindung di kawasan bukit. Tentera Jepun semakin hampir. Selepas menolong Syed Fikri berkebun Aziz menemani Afidah ke kubur datuknya. Afidah terkenangkan datuk Marzuki yang susah payah memeliharanya serta teringatkan ayah meninggalkan rumah setelah bergaduh dengan ibunya. Afidah teringatkan dia dipelihara oleh Pak Cik Mustaffa dan Mak Cik Rukiah selama dua tahun. Selepas itu baru dia dibawa oleh Tuk Marzuki ke Singapura. Aziz dan Afidah berlari ke shelter apabila siren dibunyikan. Kapal terbang Jepun menggugurkan kertas supaya penduduk kampung bekerjasama dengan Jepun untuk membebaskan Asia daripada penjajahan. Selepas itu bom digugurkan bertalu-talu.

Bab 9.

Askar Jepun berjaya menumpaskan askar British dan mereka mengambil alih kem tentera British. Askar Jepun mengarahkan semua penduduk berkumpul di kem tentera. Orang lelaki diminta membersihkan kem dan menanam mayat dalam lubang besar. Orang dewasa dipaksa menjadi buruh. Mereka yang melawan mati ditembak. Wanita dan kanak-kanak hanya mampu untuk menangis sahaja. Fikiran Joyah bertambah kusut apabila suaminya tidak pulang-pulang. Aziz ke rumah Syed Fikri juga tidak pulang. Mereka yang lain ditahan oleh tentera Jepun.

Aziz memicit badan Syed Fikri yang sakit-sakit setekah membersihkan kem Jepun. Aziz pulang ke rumah meninggalkan Syed Fikri. Soejono masih ditahan oleh tentera Jepun. Pagi esoknya, Aziz pergi ke rumah Syed Fikri. Syed Fikri masih tidur. Afidah menjual jam pusaka Tuk Marzuki. Syed Fikri menyuruh Aziz dan Afidah pulang kerana askar-askar Jepun sedang meronda.

Bab 10.

Taksiah masih ditahan tentera Jepun manakala Wan Rohani dan Rosiah dibebaskan. Ramai yang ingin tahu perkara yang berlaku kepada Rosssiah dan Wan Rohani tetapi kedua-duanya enggan menceritakan pengalaman yang amat menakutkan. Pada malam itu Dorani pulang setelah ditahan tentera Jepun selama lima hari. Dorani teringat anaknya Mohideen yang setiap bulan mengirim wang kepadanya tetapi Mohideen takutkan isterinya, Kunimah. Dorani teringat masa mudanya ketika menjadi nelayan selama dua tahun serta menjadi kelasi kapal dan merantau ke seluruh dunia. Sakit jantung yang dihadapinya menyebabkan dia pulang ke kampung.

Bab 11.

Kehidupan zaman Jepun semakin perit. Ramai yang mati kelaparan. Orang lelaki terpaksa bekerja untuk Jepun. Mak Ketong tidak mampu lagi memberi makan kepada Aziz dan Afidah. Mak Ketong menyuruh mereka mencari makanan sendiri. Aziz mengajak Afidah mencari makanan di kem askar tetapi Afidah tidak mahu. Kemudian Aziz mengajak Afidah mencari makanan di kuburan lama. Di kuburan iaitu di belakang sebuah bukit Aziz terserempak dengan Rosiah bersama dengan seorang lelaki. Rosiah memberi Aziz makanan dan berpesan supaya Aziz tidak menceritakan halnya kepada sesiapa. Afidah gembira melihat Aziz membawa makanan. Afidah mengajak Aziz mengambil lagi makanan tetapi Aziz enggan. Aziz merasa hairan dengan kelakuan Rosiah sedangkan Rosiah terkenal sebagai gadis yang bersopan dan alim. Aziz dan Afidah pergi ke kedai todi mengambil upah membelikan todi untuk mereka yang mengupahnya.

Bab 12.

Aziz dan Afidah pergi ke barat pantai kerana khabarnya makanan tertanam di situ.Mereka tidak menemui makanan tetapi menemui Kapten Hebat (Mahmud) yang sedang menangis. Lutut Kapten Hebat tokak dan berdarah. Kapten Hebat menunjukkan bangkai Mokmeng setelah sebelah tangan dan kakinya dimakan olehnya. Malam itu Mak Ketong duduk bersama Aziz dan Afidah. Keadaan hidup semakin susah. Penyakit semakin berleluasa kerana penduduk kekurangan zat makanan. Ramai orang yang mati kebuluran. Afidah mengajak Aziz bercucuk tanam dan Mak Ketong pula mengajak mereka berpindah. Orang ramai menjadi kelam kabut. Bunyi kapal terbang semakin dekat dan diikuti pula bunyi tembakan meriam. Mak Ketong, Aziz dan Afidah duduk diam dan bahaya sentiasa menanti mereka.

 
 

© BMSPM 1998-2009. Hak Cipta Terpelihara. Pemberitahuan. Ke Menu Utama