Gerbang Maklumat BMSPM Di Hujung Jari Sejak Oktober 1998
SENARAI TEMA DALAM BUKU TEKS
BAHASA MELAYU KSSM TINGKATAN 4 & 5
BESERTA CONTOH KARANGAN
 
Walaupun contoh-contoh soalan karangan di bawah
masih mengikut format lama BM SPM KBSM
tetapi karangannya mempunyai tema yang hampir menepati
tema buku teks BM SPM KSSM terkini
serta boleh dijadikan panduan kerana:
  • - susunan isi dan penulisan serta pengolahan isi yang mantap

  • - gaya penulisan yang menarik

  • - teknik pemerengganan yang betul

  • - pemilihan perkataan yang sesuai

  • - penggunaan ungkapan menarik yang bertepatan

  • - penggunaan kata hubung/penanda wacana yang sesuai dll.

Pautan akan ditambah dari semasa ke semasa

(Sila klik tema pilihan untuk melihat contoh karangan di bawah)

 

BIL

TEMA BUKU TEKS BM TINGKATAN 4

1

MEREALISASIKAN IMPIAN

2

INSAN TERDIDIK, NEGARA SEJAHTERA

3

MEMETIK BINTANG

4

MENJULANG HARAPAN DI BUMI

5

MEMACU PRODUKTVITI

6

DUNIA PELANCONGAN

7

DEMI KEDAMAIAN

8

DALAM LIPATAN KENANGAN

9

SAYANGI MALAYSIA

10

BAHASA BUGAR, SASTERA KEKAR

11

EKONOMI DINAMIK, NEGARA BERWIBAWA

12

ASLI DAN KONTEMPORARI

13

SEGALANYA BERMULA DI SINI

14

SIHAT DAN BERSIH PILIHANKU

15

ANGIN PERUBAHAN MEMBADAI

16

DIPIMPIN UNTUK MEMIMPIN

 

BIL TEMA BUKU TEKS BM TINGKATAN 5
1  ANDA BERSIH ANDA SIHAT
2  SUKAN DAN REKREASI
3  KERJAYA MENITI JAYA
4  BERSATU KITA TEGUH
5  PENDIDIKAN UNTUK SEMUA
6  SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
7  PERTANIAN, PENTERNAKAN DAN PERIKANAN
8  MELANCONG MENCARI MAKNA
9  EKONOMI, KEUSAHAWANAN DAN PENGURUSAN KEWANGAN
10  ALAM SEKITAR DAN TEKNOLOGI HIJAU
11  DUNIA SELAMAT MILIK KITA
12  KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN ESTETIKA
13  JATI DIRI, WARGANEGARA PATRIOTIK
14  CITRA BAHASA DAN SASTERA KITA
15  INDUSTRI CEMERLANG, NEGARA GEMILANG
16  INTEGRITI

 

 

 

BIL

TEMA

       1.    

MEREALISASIKAN IMPIAN

 

SOALAN:

Setiap individu mempunyai impiannya tersendiri. Sebagai seorang pelajar yang berwawasan, anda mempunyai impian untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

 

Jelaskan persiapan-persiapan yang perlu anda lakukan untuk merealisasikan impian anda itu.


JAWAPAN:
            Sebagai insan yang masih berdenyut, kita tidak boleh sekadar berdiam diri dan memasang impian dan cita-cita dalam kehidupan ini. Begitu juga dengan saya, hidup ini mesti dihias dengan impian, harapan dan cita-cita barulah sempurna. Tahun demi tahun, rekod kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia telah dapat dicipta dan dipecahkan. Suatu waktu dahulu, ada calon yang berjaya memperoleh 16A1, yakni suatu pencapaian yang belum pernah dicapai. Akan tetapi beberapa tahun kemudian rekod ini telah dapat dipecahkan oleh Saudari Nur Amalina yang berjaya memperoleh 17A1. Pada SPM 2008 pula, Saudara Azli Azlan dapat mencipta rekod dengan memperoleh kesemua 21A1 bagi subjek yang diambil oleh beliau. Sebagai pelajar yang berwawasan, saya mempunyai impian untuk mencapai kecemerlangan dalam dunia akademik saya. Persiapan-persiapan awal amatlah mustahak sebagai persediaan untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.


            Pertama-tama, saya perlu menetapkan suatu matlamat yang jelas sama ada dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang. Saya perlu belajar memahami diri dari segi kecenderungan, kemampuan, kekuatan dan kelemahan supaya saya dapat menepati matlamat diri. Manusia tidak merancang untuk gagal tetapi sebenarnya mereka gagal merancang dek tidak mempunyai hala tuju atau impian masa depan yang cemerlang. Kebanyakan pelajar pada milenium ini mengadu bahawa mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi kerana mereka terlalu sibuk akan pelbagai aktiviti selain pelajaran. Istilah tidak ada masa bukan merupakan alasan yang jujur kerana pada dasarnya kita semua memiliki masa 24 jam setiap hari. Yang perlu ditingkatkan sebenarnya ialah usaha kita untuk membahagikan masa dengan lebih cermat dan berhemah. Kita digalakkan membuat jadual waktu dan menuruti jadual itu tanpa gagal agar perjalanan hidup seharian kita sistematik, berdisiplin dan seimbang. Kita perlu membahagikan masa kita untuk membuat ulang kaji, beriadah atau bersenam, dan berinteraksi dengan ahli keluarga secara seimbang. Jadual waktu kita tidak semestinya penuh dengan aktiviti ulang kaji dan kelas tambahan, sebaliknya kita perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan pelbagai akitiviti yang dapat mengurangkan tekanan hidup seperti bersenam, menyertai kem, menonton televisyen dan sebagainya.


            Selain itu, semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, saya perlu memberikan perhatian penuh tanpa kompromi. Pada hari yang sama, saya perlu membuat nota ringkas untuk memudahkan saya membuat ulang kaji pada bila-bila masa. Mungkin setiap orang mempunyai cara belajar yang tersendiri dan berbeza tetapi bagi saya kaedah perbincangan antara rakan sebaya atau belajar secara berkumpulan merupakan kaedah yang terbaik untuk kita mengingati fakta. Setiap ahli kumpulan mesti bersifat tegas, berdedikasi dan berdisiplin untuk memastikan tiada perkara lain yang dibincangkan selain intipati pelajaran. Debat dan perbincangan boleh diadakan sesama sendiri untuk memahami sesuatu topik. Maklumat yang dikongsi bersama juga mampu mendatangkan impak yang positif kepada setiap individu.


            Antara amalan lain yang boleh saya amalkan termasuklah rajin menimba ilmu dan pengalaman. Pada hemat saya, membaca buku dapat meningkatkan daya fikir dan ilmu pengetahuan bak kata peribahasa membaca jambatan ilmu. Saya suka memilih buku-buku yang bertema berat dan berkaitan dengan kecemerlangan hidup. Buku-buku yang dikarang oleh Barack Obama, Presiden Amerika Syarikat yang terunggul pada abad ini misalnya menjadi pilihan saya pada masa santai. Bagi saya, pelajar yang menginginkan kecemerlangan tidak boleh malas membaca. Selain itu, saya juga perlu menjadi pendengar yang baik. Sama ada orang yang sedang bercakap itu guru mahupun rakan-rakan, saya tetap akan setia mendengar jika perkara yang diperkatakan itu mendatangkan kebaikan. Sebagai insan pelajar, kita tidak harus bersikap angkuh ketika menimba ilmu. Sikap rendah diri secara positif ibarat padi semakin berisi semakin tunduk wajar kita amalkan dalam kehidupan sehari-hari.


            Bersesuaian dengan era globalisasi, saya tetap tidak akan ketinggalan menggunakan prasarana teknologi maklumat dan komunikasi secara positif untuk menimba ilmu. Saya sentiasa melayari Internet di rumah bagi mendapatkan pelbagai maklumat. Antara laman web yang saya layari termasuklah portal pelajaran dan berita tentang hal ehwal dunia semasa. Kadang-kadang saya turut bersembang siber dengan sahabat pena dan kini sahabat siber, sama ada dari negara kita atau dari luar negara untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris saya lagi. Kami juga sering bertukar-tukar pendapat di dalam blog dan media sosial masing-masing. Prasarana Internet amat membantu saya untuk menambahkan ilmu dan kemahiran tanpa perlu kita menyalahgunakan kemudahan canggih tersebut.


            Akhirulkalam, kejayaan tidak akan dapat direalisasikan oleh manusia yang asyik leka dan malas tanpa hala tuju hidup yang jelas dan berwawasan. Sebaliknya, sebagai insan yang dahaga akan ilmu, pengalaman, dan kejayaan, kita perlu senantiasa bersikap tekun, gigih dan tabah berusaha tanpa putus asa. Yang paling penting, kita perlu pasrah, berdoa dan mendapat keberkatan daripada Tuhan, ibu bapa, dan guru-guru sebelum menduduki peperiksaan agar usaha kita senantiasa diberkati dan berjaya.

 

SUMBER:

Disesuaikan - http://kertas1bmspm.blogspot.com/2010/09/penulisan-karangan-bm-k1-spm-bahagian-b_03.html

 

SOALAN:

Anda meminati sesuatu bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko. Oleh itu, persediaan awal amat penting sebelum anda menceburi bidang pekerjaan tersebut. Bincangkan persediaan-persediaan yang perlu anda lakukan.

 

JAWAPAN:

            Era penyejagatan pada masa ini semakin hari semakin berkembang pesat ekoran sikap manusia yang sentiasa berusaha untuk mencapai dan mendominasi kejayaan dalam kehidupan. Manusia juga sanggup melakukan apa-apa sahaja tanpa berputus asa untuk memperoleh kejayaan, bak kata pepatah Melayu, genggam bara api biar sampai jadi arang. Saya meminati sesuatu bidang kerjaya yang amat mencabar dan berisiko. Oleh itu, persediaan awal adalah amat penting sebelum saya dapat menceburi bidang pekerjaan ini. Saya perlulah melakukan beberapa persediaan yang sewajarnya kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

           

            Persediaan yang afdal yang wajar saya lakukan termasuklah melengkapkan diri saya dengan kemahiran insaniah yang meliputi beberapa aspek, iaitu kemahiran berkomunikasi, mempunyai pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran sepanjang hayat dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, etika dan moral profesional serta kemahiran kepimpinan. Kemahiran insaniah sangat penting untuk melahirkan modal insan yang kamil dan yakin untuk berhadapan dengan sebarang cabaran yang mendatang. Sebagai contoh, semasa berada di alam persekolahan dan pengajian tinggi, saya perlulah menggunakan peluang yang ada untuk bergerak aktif sama ada dalam aktiviti kemasyarakatan, sukan atau kebudayaan. Hal ini adalah kerana kemahiran insaniah dapat mempersiapkan diri saya dengan kemahiran yang boleh diaplikasikan pada masa hadapan terutamanya semasa berada dalam alam pekerjaan. Oleh itu, usaha untuk memiliki kemahiran insaniah amat penting agar saya dapat berkecimpung dalam bidang yang saya minati itu.

 

            Jika dilihat dari dimensi yang lain pula, saya perlu mempunyai daya saing yang tinggi kerana saya merupakan golongan pemuda-pemudi yang bakal berhadapan dengan dunia yang kian mencabar ini. Sesungguhnya remaja di Malaysia amat berbeza dengan remaja di negara lain. Mereka sememangnya sudah diajar berdikari sejak kecil lagi manakala remaja di negara kita masih ditatang bagai minyak yang penuh. Jadi, tidak hairanlah mereka lebih matang dan daya saing mereka lebih tinggi daripada remaja di negara kita. Menyedari hakikat ini, saya perlu kental dan tidak mudah berputus asa apabila berhadapan dengan pelbagai rintangan. Sebagai contoh, Abraham Lincoln pernah mengalami 13 kegagalan besar dalam bidang politik sebelum beliau dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-16 pada usia 51. Kecekalan Abraham Lincoln ini perlu saya contohi kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Saya juga mesti membekalkan diri saya dengan semangat juang yang tinggi untuk mencapai matlamat saya. Saya perlu berupaya untuk menghasilkan teknologi dan robotik yang setanding dengan remaja yang lain. Jelaslah membuktikan bahawa seseorang yang ingin mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi perlulah memiliki daya saing yang tinggi.

 

            Selain itu, saya juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam terhadap bidang pekerjaan yang bakal saya ceburi itu. Hal ini adalah kerana ketinggian ilmu yang saya miliki dapat memastikan jati diri saya tidak mudah rapuh. Sejak kecil lagi, rakyat Jepun telah didedahkan dengan amalan membaca kerana mereka percaya bahawa membaca itu jambatan ilmu. Hanya dengan membaca, mereka berupaya memajukan negaran mereka dengan pelbagai teknologi moden yang canggih. Jadi, saya perlu banyak membaca buku-buku yang berkaitan dengan bidang yang saya minati. Saya percaya bahawa ilmu pengetahuan yang tinggi mampu mematangkan saya untuk mengatur setiap langkah kehidupan. Sememangnya pelangi hari ini tidak mampu berjanji untuk muncul pada hari keesokan. Oleh hal yang demikian, saya perlulah meningkatkan pengetahuan dan keyakinan saya bagi merealisasikan impian saya untuk menceburi bidang kerjaya yang mencabar dan berisiko.

 

            Seperkara lagi, saya perlulah sentiasa sensitif dan prihatin terhadap isu semasa. Saya tidak mahu menjadi seperti katak di bawah tempurung. Hal ini adalah supaya saya lebih peka terhadap masalah yang kian menular seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan sama ada di negara kita atau di luar negara. Dewasa ini, banyak jenayah yang berlaku di negara kita. Sebagai contoh, kes pembunuhan Datuk Sosilawati, seorang jutawan dan rakan-rakannya yang telah dibunuh tanpa perikemanusiaan. Sebagai iktibar, saya perlu lebih berhati-hati dalam mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba ini terutamanya ketika menceburi bidang kerjaya yang lebih mencabar dan berisiko. Jadi, saya mestilah memiliki semangat inkuiri yang kuat dan tinggi supaya saya sentiasa lebih sensitif dan peka terhadap isu-isu yang berlaku di sekeliling saya. Hal ini dapat dicapai sekiranya saya rajin membaca surat khabar dan melayari internet untuk mengetahui isu-isu semasa. Dengan cara ini, saya berupaya untuk menangkis sebarang cabaran ketika saya bekerja dalam dunia pekerjaan yang berisiko dan mencabar.

 

            Persediaan yang seterusnya ialah saya perlu mempunyai minda yang kreatif dan inovatif. Hal ini dikatakan demikian kerana seseorang yang dapat berfikir di luar kotak dan berani melakukan anjakan paradigma mampu untuk menongkah arus dan mendepani cabaran semasa. Sebagai seorang pelajar, kejayaan akademik memang merupakan satu kepentingan untuk berjaya dalam kehidupan tetapi tidak dapat disangkalkan juga bahawa mempunyai nilai tambah diri seperti nilai kepimpinan dan berfikir secara kreatif serta kritis juga signifikan untuk berjaya dalam kerjaya yang mencabar dan berisiko. Oleh itu, pemikiran saya yang kreatif dan inovatif dapat menangani cabaran-cabaran yang bakal saya tempuhi kelak terutamanya pada era globalisasi ini. Saya juga dapat mengemukakan idea-idea yang bernas yang dapat meningkatkan kualiti kerja saya kelak. Tuntasnya, kemampuan untuk berfikir secara kreatif dan inovatif dapat membantu saya ketika melibatkan diri dalam kerjaya yang saya idamkan.

 

Konklusinya, persediaan-persediaan inilah yang wajar saya lakukan sebagai prasyarat untuk mencapai kejayaan dalam pekerjaan saya nanti. Oleh itu, saya perlulah menitikberatkan kemajuan diri saya dalam semua aspek sama ada dalam aspek jasmani, rohani, emosi, intelek dan sosial. Dengan cara ini, saya pasti dapat menangkis segala dugaan yang mendatang kerana saya percaya bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Semoga impian saya akan menjadi realiti dengan keizinan Tuhan yang Maha Esa.

SUMBER:

Disesuaikan - http://anelyza.blogspot.com/2010/11/persediaan-sebelum-menceburi-kerjaya.html

 

       2.    

INSAN TERDIDIK, NEGARA SEJAHTERA

 

SOALAN:

Sebagai sebuah negara sedang membangun, Malaysia memerlukan rakyat yang berilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi atau insan yang cemerlang.

Huraikan cara-cara yang berkesan untuk melahirkan insan yang cemerlang.

 JAWAPAN:

            Pada alaf digital yang mendepani ombak globalisasi ini, negara kita telah pesat membangun dan bangunan yang mencakar langit telah didirikan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Namun demikian, pembangunan kerohanian tidak mengalami transformasi yang ketara secara anjakan paradigma. Untuk merealisasikan wawasan 2020, Misi Nasional atau Satu Malaysia, kerajaan perlu menjanakan pembangunan kerohanian untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, terutamanya golongan remaja kerana mereka merupakan tonggak negara yang bakal menerajui cerucuk kepimpinan di negara kita. Dalam konteks ini, modal insan yang cemerlang memerlukan ciri-ciri yang unik, iaitu berintelek, berakhlak mulia, kreatif dan kritis, berbadan sihat serta memiliki kepimpinan. William J. Siegel berkata, “Manusia tidak meracang untuk gagal tetapi mereka gagal merancang.” Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlu merancangkan tindakan-tindakan yang efektif untuk melahirkan insan yang cemerlang dalam kalangan rakyat Malaysia.

            Untuk mencambahkan insan yang cemerlang, ibu bapa memainkan peranan yang prioritiMenurut Hadis, anak dibaratkan kain putih yang akan dicorakkan oleh ibu bapanya. Lantaran itu, ibu bapa yang bertanggungjawab dan memiliki ilmu keibubapaan berupaya mencanai insan yang gemilang. Terlebih dahulu, ibu bapa perlu menitikberatkan pencapaian akademik anak mereka. Selain menemani anak mereka mengulang kaji dan membuat latihan, ibu bapa juga perlu menjadi role model atau suri teladan kepada anak mereka dalam amalan membaca kerana ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Amalan membaca perlu dipupuk sejak kecil lagi, persis peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebung”. Banyak membaca luasnya ilmunya. Ibu bapa tidak patut lokek atau kedekut untuk memberikan pujian kepada anak atas sesuatu kejayaan. Hal ini dapat memberikan dorongan kepada mereka untuk mendaki lereng yang penuh dengan onak dan duri hingga mencapai kejayaan yang cemerlang. Hal ini selaras dengan kata-kata El Leseur, “Tanpa semangat tidak ada pekerjaan besar yang dapat dilakukan.” Tegasnya ibu bapa perlu berusaha membimbing anak mereka ke arah kecemerlangan akademik.

             Bagaimanapun, kecemerlangan akademik atau intelek tidak akan membawa sebarang makna jika tidak dilengkapi dengan sahsiah yang mulia. Ternyata, banyak golongan yang terdidik turut melibatkan diri dalam pelbagai jenayah kolar putih atau gejala sosial terutamanya pengagihan dadah dan kegiatan maksiat bagai melukut di tepi gantang. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu memastikan anak mereka menerima ajaran agama dan nilai-nilai murni di rumah. Ibu bapa perlu membimbing anak mereka menjalankan solat sembahyang dan mengaji kitab-kitab suci. Golongan muda perlu memiliki keimanan yang teguh untuk menjauhi segala godaan dan nafsu. Pemuda dan pemudi yang berbudi bahasa, bertanggungjawab dan berjati diri dapat melahirkan masyarakat sakinat yang diidam-idamkan. Dengan kata lain, ibu bapa hendak membentuk anak remaja yang berakhlak mulia untuk melahirkan masyarakat penyayang menjelang wawasan 2020.

            Untuk melunaskan hasrat negara, modal insan yang kreatif dan kritis merupakankomponen yang signifikanPihak sekolah berperanan penting untuk melahirkan insan yang kreatif dan kritis. Sukatan pelajaran dan kokurikulum sekolah perlu mengalami reformasi dan keluar dari kepompong yang tradisi dan statik. Dalam dunia ICT, pendapatan Google, Facebook dan Microsoft telah mengatasi pendapatan negara kita. Produk yang dijual oleh mereka ialah kreativiti dan ilmu mereka. Hal ini telah membuktikan bahawa ilmu yang dimiliki tidak akan berguna jika tidak dicampuri dengan imaginasi yang berani dan praktikal yang berterusan. Ekoran daripada itu, pihak sekolah perlu menggalakkan pelajar mengemukakan idea mereka. Pertandingan reka cipta robotik, laman web dan fesyen serta lain-lain lagi perlu diadakan . Secara tidak langsung, pihak sekolah dan warga didik tidak boleh lagi bergantung pada buku teks sahaja tetapi perlu bersikap terbuka untuk melatih anak buah mereka untuk mencetuskan idea yang kreatif dan kritis.

            Di samping itu, ibu bapa dan pihak sekolah perlu memastikan generasi muda kita memiliki badan yang sihat dan cergas. Pihak sekolah perlu memberikan ilmu pengetahuan tentang cara-cara menjaga kesihatan kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Pendidikan Jasmani di sekolah perlu dititikberatkan. Kementerian Pelajaran telah menetap setiap pelajar perlu bergiat dalam satu sukan. Hal ini merupakan tindakan yang bijaksana. Ibu bapa perlu memastikan anak mereka senantiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan pemakanan seimbang seperti kriteria dalam piramid makanan. Sehubungan dengan itu, putera dan puteri yang sedang berjuang dalam medan ilmu dapat menjauhi penyakit kronik dan penyakit berjangkit. Badan cergas otak cerdas. Fizikal yang sihat akan membentuk semangat kental dan waja diri untuk menghadapi pancaroba dalam gelombang globalisasi. Natijahnya, ibu bapa dan pihak sekolah perlu menitikberatkan kesihatan dan kekuatan fizikal anak muda kita.

             Sementelahan, pihak sekolah perlu mengaturkan strategi yang terancang untuk melahirkan pemimpin yang berwibawa . Apakah ciri-ciri seorang pemimpin yang berwibawa? Tidak lain tidak bukan pemimpin yang berketerampilan perlu bersikap disiplin, tanggungjawab, amanah, dapat bekerjasama, berinteraksi dan bermusyawarah dengan orang lain serta berupaya berucap di khalayak ramai. Dalam situasi ini, pihak sekolah perlu menyediakan satu ruang yang kondusif kepada pelajar untuk menonjolkan kepimpinan mereka. Setiap pelajar perlu diberikan peluang untuk menjadi ahli jawatankuasa dalam kelas, persatuan  kokurikulum  dan  pasukan  beruniform.  Menurut  kata-kata  mutiara,  “Anda memerlukan sebanyak mungkin pengalaman getir untuk menziarahi keunggulan anda.” Justeru itu, guru sebagai penasihat harus membimbing pelajar untuk menjadi pemimpin tanpa banyak campur tangan. Seperti peribahasa, “bumi mana tidak ditimpa hujan”, pelajar yang bersalah atau bersilap perlu diberi peluang untuk membaiki diri mereka sehingga meminimumkan kelemahan mereka. Kepimpinan seseorang insan akan berputik setelah dibimbing, diasak, dilatih dan diberi peluang. Hakikatnya, sekolah merupakan medan yang kondusif untuk membuahkan modal insan yang bercirikan kepimpinan.

SUMBER:

Disesuaikan - https://tintapena2.wordpress.com/2017/10/17/cara-cara-yang-berkesan-untuk-melahirkan-insan-yang-cemerlang/

       3.    

MEMETIK BINTANG

       4.    

MENJULANG HARAPAN DI BUMI

       5.    

MEMACU PRODUKTVITI

 

SOALAN:

Produktiviti merupakan elemen yang vital untuk melicinkan pentadbiran dan meningkatkan kuantiti serta kualiti hasil pengeluaran dalam kehidupan manusia.

 

Bincangkan peranan produktiviti dalam kehidupan kita.

 

JAWAPAN:

            Dasawarsa ini, ramai orang yang ingin menjadi produktif dalam menyiapkan segala urusan kehidupan. Bahkan dalam sebuah organisasi, produktiviti merupakan elemen yang vital untuk melicinkan pentadbiran dan meningkatkan kuantiti serta kualiti hasil pengeluaran. Produktiviti boleh didefinisikan sebagai nilai atau kualiti output yang dapat dihasilkan oleh satu unit input. Dalam zaman pascakemerdekaan ini, negara Malaysia telah muncul sebagai kuasa ekonomi yang disanjungi di persada antarabangsa. Di samping mempunyai golongan penduduk yang dedikasi, kita juga mempunyai infrastruktur yang mampu meningkatkan produktiviti dalam pelbagai sektor. Lantas, kita sebagai rakyat Malaysia harus mengelakkan budaya "automasi" dan mengamalkan fikiran kritis dan konstruktif untuk meningkatkan produktiviti dalam semua aspek kehidupan.


            Antara peranan produktiviti adalah peningkatan produktiviti dalam sektor perindustrian. Barang yang dihasilkan dengan menggunakan komputer bukan sahaja lebih banyak dan lebih cepat, tetapi juga lebih menjimatkan masa berbanding dengan keupayaan semula jadi manusia. Alat teknologi dapat menjamin kualiti barangan yang dikeluarkan dengan mengaji mutu barangan dengan tepat dan cepat. Robot digunakan untuk memasang kereta atau menjalankan kerja-kerja yang terdedah kepada bahan pencemaran dan radioaktif. Selain itu, kemunculan penggunaan laser turut memajukan produktiviti dalam bidang perindustrian. Laser merupakan alat pemecah dan pemotong yang termoden. Laser dapat memotong batu permata, intan, kaca, malah kepingan logam tanpa mengeluarkan haba, bunyi dan sisa kotoran. Maka jelaslah produktiviti dalam sektor perindustrian merupakan hasil daripada penggunaan alat-alat berteknologi seperti jentera canggih dan robot-robot.


            Selain itu, peningkatan produktiviti dalam sektor pertanian. Melalui kepakaran dalam teknologi, teknik dan teknologi pertanian akan mengalami transformasi. Teknik-teknik moden yang efektif dalam bidang penanaman, penternakan dan penuaian akan membantu meningkatkan produktiviti. Bioteknologi juga akan membantu dalam penghasilan baka, benih dan racun bagi memajukan sektor pertanian. Pertanian yang berorientasi intensif teknologi bukan sahaja meningkatkan kualiti makanan tetapi juga menjamin kelangsungan makanan. Lantas, usaha berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan dapat membantu memelihara ekologi tanaman yang akan meningkatkan kualiti hidup manusia. Kini, bioteknologi memacu negara ke arah pembangunan. Bidang kejuruteraan makanan ubahsuaian genetik mempunyai ciri-ciri terbaik seperti tahan lama, sedap dan bermutu, murah serta dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran tanaman.


            Seterusnya, peningkatan produktiviti sistem telekomunikasi. Maklumat dari sesuatu kawasan boleh dihantar ke seluruh dunia dalam masa beberapa saat sahaja melalui satelit. Kita tidak perlu menggunakan kaedah kuno seperti melepaskan asap sebagai tanda isyarat atau memukul kompang untuk menghantar mesej. Sebaliknya, sesuatu acara sukan atau pertandingan boleh disiarkan secara langsung ke semua pelosok dunia dengan pantas. Penciptaan telefon bimbit dapat menghantar SMS dan MMS kepada orang lain dengan mudah dan cepat. Syarikat Celcom, Digi dan Maxis dengan bantuan satelit dapat membantu pengguna telefon bimbit untuk menghubungi sesiapa sahaja dalam kehidupan seharian. Penciptaan teknologi laser turut memainkan peranan penting kerana mengganti peranan kabel dengan optik fiber. Jalur laser yang lebih luas membenarkan maklumat seperti bunyi dan suara dihantar dengan lebih cepat dan tepat serta meminimumkan risiko kehilangan data.


            Selanjutnya, peningkatan produktiviti sektor penyelidikan. Pelancaran satelit dapat mengumpul data, data penting mengenai persekitaran bumi dengan pantas. Maklumat ini kemudian dianalisis dengan segera oleh komputer untuk menghasilkan keputusan kajian yang tepat tentang keadaan cuaca, seperti hala tuju angin dan kelembapan sesuatu kawasan. Ramalan kaji cuaca ini dapat membantu manusia untuk bersiap sedia menghadapi sebarang ancaman malapetaka seperti banjir dan taufan. Berbanding dengan zaman dahulu, ramalan cuaca dilaksanakan dengan memerhatikan kedudukan matahari pada waktu siang dan bintang-bintang pada waktu malam. Kaedah ini kurang produktif kerana kedudukannya tidak tertentu. Hal ini membuktikan bahawa perkembangan pesat dalam tahap teknologi telah merancakkan peningkatan produktiviti dalam sektor penyelidikan.


            Produktiviti dalam bidang pendidikan juga dipengaruhi. Murid-murid yang menganggap proses pembelajaran sukar untuk difahami pastinya akan berminat apabila komputer digunakan untuk menyampaikan pengajaran dalam bentuk grafik yang berwarna-warni. Teknik pengajaran sebegini direalisasikan apabila munculnya kemudahan alat ICT di kebanyakan sekolah di Malaysia. Pada zaman sekarang, para murid dapat menelaah pelbagai isu semasa dunia dengan hanya menekan papan kekunci. Mereka tidak lagi menjadi katak di bawah tempurung. Murid didedahkan kepada pengetahuan am yang bukan dari buku teks sekolah sahaja. Sebagai kesan murid-murid mampu meluaskan il u pengetahuan mereka dan menjadi insan yang berilmiah dan berkualiti. Lantas, produktiviti dalam pendidikan pun dapat ditingkatkan.


            Selain itu, peningkatan produktiviti di klinik dan hospital. Doktor boleh membuat diagnosis sesuatu penyakit dengan menggunakan komputer untuk memproses butir-butir peribadi mengenai pesakit dan seterusnya mendiagnosis jenis penyakit yang dihadapinya. Dalam rawatan kesihatan khususnya semasa pembedahan, teknologi memberikan sumbangan yang besar dari segi melicinkan kerja pembedahan. Umpamanya bacaan denyutan jantung dan analisis gambar sinar - x pesakit boleh dibuat dengan serta-merta dengan peralatan canggih. Cara ini dapat membantu menjamin keselamatan dan kejayaan sesuatu pembedahan. Lagipun, pakar-pakar perubatan dapat menghasilkan ubat yang lebih berkesan. Mereka dapat mencipta peralatan canggih untuk membanteras pelbagai penyakit berbahaya pada masa kini. Penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, diabetis dan tekanan darah tinggi dapat dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. Dengan cara ini, langkah pemulihan akan dapat dilakukan dengan segera. Oleh hal yang demikian, perkembangan dalam bidang perubatan telah meningkatkan produktiviti dan jangka hayat rakyat kita.


            Dalam kehidupan kita, ramai orang ingin lebih bermotivasi dalam kerja dan ingin mencontohi orang yang cemerlang dan berjaya dalam kehidupan mereka. Kita mengagumi kehidupan mereka yang tersusun dan terancang. Antara teknik yang boleh digunakan untuk memastikan masa kita dibahagikan dengan betul ialah Teknik Pomodoro, Teknik GTD, Teknik Jangan Putuskan Rantai dan sebagainya. Namun yang paling penting, kita mesti mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk meningkatkan produktiviti hidup. Sebab itulah, pihak kerajaan menyeru agar rakyat kita melakukan senaman riadah sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Amalan ini melahirkan rakyat yang sihat dan produktif. Bak kata pepatah "otak yang cerdas datang daripada tubuh yang cergas".


            Tuntasnya, dengan adanya inovasi dan perkongsian, produktiviti meningkat kerana inovasi adalah jantung, berkongsi adalah hati. Maka, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia meletakkan 'inovasi' sebagai salah satu mekanisma dalam agenda transformasi pembangunan negara. Beliau telah memperuntukkan bajet yang positif dan Belanjawan 2013 untuk merancakkan kegiatan inovasi, peningkatan produktiviti dan keusahawan. Lantas, setiap lapisan masyarakat haruslah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk mempromosikan produktiviti kehidupan. Dengan ini, kita dapat membina masyarakat yang berminda kelas pertama, seterusnya aspirasi negara kita untuk mencapai Wawasan 2020 mampu diimplimentasikan dan dilestarikan.

 

SUMBER:

       6.    

DUNIA PELANCONGAN

SOALAN:

Pelancongan dianggap sebagai satu industri yang menguntungkan negara. Kemukakan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menggalakkan kedatangan para pelancong ke Malaysia.

 

JAWAPAN:

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sektor pelancongan telah menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara Malaysia. Pihak kerajaan pernah menjelaskan bahawa sektor pelancongan akan terus menawarkan peluang pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi  melebihi daripada jumlah yang dijangkakan. Berdasarkan hakikat itu, usaha-usaha perlu ditingkatkan lagi oleh semua pihak supaya setiap perancangan yang diatur terhadap industri pelancongan dapat berjalan dengan lancar.

 

Keistimewaan Malaysia dapat diperhatikan melalui budaya dan etika kerja penduduknya, bangunan dan perusahaannya, tempat-tempat sejarah yang unik, dan keindahan alam semulajadinya seperti bukit-bukau yang menghijau, rangkaian pulau yang cantik, air terjun yang bertingkat-tingkat, dan pantainya yang putih bersih. Keistimewaan-keistimewaan tersebut menjadi faktor pendorong kepada kedatangan pelancong ke negara kita. Untuk menggalakkan lagi kedatangan mereka, langkah-langkah yang wajar dan program terancang harus dilaksanakan, seperti membuka tempat-tempat rekreasi yang baru dan berpotensi, dan melaksanakan pembangunan di kawasan pelancongan. Ini termasuklah menyediakan prasarana dan kemudahan penginapan untuk kegiatan pelancongan, serta mengekalkan tempat-tempat bersejarah. Projek pembangunan semula jadi juga dapat mendatangkan pulangan yang besar kepada ekonomi negara.

 

Kita juga dapat mengembangkan aktiviti pelancongan melalui usaha-usaha politik seperti menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara luar yang boleh dilakukan melalui misi-misi lawatan rasmi. Di samping itu, pihak Perbadanan Pelancongan Malaysia boleh memajukan industri pelancongan dengan cara mengedarkan risalah tentang keistimewaan-keistimewaan yang terdapat di Malaysia, misalnya tempat-tempat pelancongan yang menarik, tempat-tempat yng bersejarah, pelbagai kebudayaan kaum, makanan masyarakat setempat, dan sebagainya. Usaha-usaha promosi boleh dijalankan menerusi penayangan filem-filem rencana tentang keindahan negara Malaysia. Agensi-agensi pelancongan juga boleh memainkan peranan dengan cara menawarkan pakej pelancongan yang berpatutan agar pelancong mudah tertarik dan tidak menghadapi masalah untuk berkunjung ke negara kita.

 

Di samping kestabilan politik, pihak kerajaan juga harus memastikan perkembangan ekonomi negara terus meningkat. Oleh itu, pengeluaran pelbagai barangan tempatan dan industri desa seperti kraf tangan, batik, dan barangan makanan perlu ditingkatkan. Seterusnya, kemudahan tempat membeli-belah dan kawasan bebas cukai harus disediakan untuk menampung keperluan pelancong. Dengan itu, kemudahan-kemudahan tersebut akan menjadikan tarikan kepada pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Satu perkara lagi ialah pihak kerajaan perlu memastikan nilai mata wang negara terus berkeadaan stabil.

 

Masyarakat atau penduduk tempatan juga boleh berusaha untuk menarik minat pelancong. Mereka boleh mengamalkan corak hidup yang harmoni, beramah mesra, bersopan santun, dan bertoleransi dengan para pelancong. Sikap biadab dan karenah buruk penduduk tempatan akan memberikan persepsi negatif kepada pelancong. Para pelancong akan bertindak lebih drastik dengan melaporkan kepada mana-mana media yang akhirnya menjatuhkan imej negara. Oleh itu, untuk meningkatkan lagi imej negara, kebersihan setempat juga harus dijaga.

 

            Kesimpulannya, industri pelancongan merupakan satu projek atau program pembangunan yang menguntungkan negara daripada pelbagai sudut. Sebagai satu industri yang menguntungkan, faktor-faktor semula jadi yang menarik dalam negara harus dikekalkan. Manakala semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung hendaklah mengambil tahu tentang industri ini. Orang awam sekurang-kurangnya boleh memainkan peranan dengan cara bertegur sapa dengan para pelancong atau sekadar mengukir senyuman sebagai tanda persahabatan. 

 (Sumber:

Disesuaikan - http://cikgurazak.blogspot.com/2015/09/karangan-bm-spm-pelancongan.html)

 

 

       7.    

DEMI KEDAMAIAN

       8.    

DALAM LIPATAN KENANGAN

       9.    

SAYANGI MALAYSIA

 

SOALAN:

Semakin hari semakin terserlah sikap masyarakat yang sudah kurang rasa cinta akan negara.

Bincangkan usaha-usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita

JAWAPAN:

            Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

            Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

            Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.

         Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.

           Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

         Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.

         Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

SUMBER:

Disesuaikan - http://anelyza.blogspot.com/2009/09/usaha-usaha-untuk-meningkatkan-semangat.html

     10.  

BAHASA BUGAR, SASTERA KEKAR

 

SOALAN:

Amalan membaca dalam kalangan masyarakat semakin hari semakin berkurangan apatah lagi karya sastera.

Huraikan ciri-ciri sesebuah karya sastera yang dapat menarik minat masyarakat untuk membaca.

JAWAPAN:

Mari kawan, kita membaca,
Mari rakan, timba ilmu dengan membaca,
Itulah perjuangan, sahutlah seruan,
Jadikan membaca gaya wawasan.

             Bait lagu di atas jelas menunjukkan betapa pentingnya budaya mambaca dalam kalangan masyarakat. Walaupun begitu, ramai pihak terutamanya pencinta karya sastera meluahkan rasa kekesalan mereka kerana bahan bacaan terutamanya karya sastera kini semakin dipinggirkan dan diabaikan berbanding bahan bacaan picisan yang melambak di pasaran  ‘’bak cendawan tumbuh selepas hujan’’.  Fenomena ini sangat membimbangkan lantaran hasil karya sastera yang berkualiti daripada penulis-penulis tersohor seperti A. Samad Said, Usman Awang, Othman Puteh, dan Keris Mas bagaikan tiada nilainya pada pandangan masyarakat.  Walau bagaimanapun, kebangkitan penulis-penulis baharu yang menampilkan gaya kontemporari dalam hasil penulisan mereka seperti Nisah Haji Haron, Faisal Tehrani, Ramlee Awang Murshid, dan Hashim Latif telah berjaya mencuri hati pembaca, terutamanya golongan remaja. Karya mereka yang menarik menyebabkan bahan sastera kembali menjadi bahan bacaan yang digemari. Apakah keistimewaan dan ciri-ciri hasil karya mereka sehingga berjaya mengubah fenomena tersebut?

              Pada pandangan saya, hasil karya sastera yang menarik pasti dapat meninggalkan kesan yang mendalam pada hati pembaca. Ciri-ciri sebuah karya sastera yang berkualiti dapat dilihat dari beberapa sudut. Kajian yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka mendapati bahawa golongan yang mendominasi bahan bacaan ialah golongan remaja. Oleh itu, bagi menarik minat mereka untuk membaca sesebuah karya haruslah menampilkan tema permasalahan remaja. Konflik dalam percintaan, persahabatan, dan kekeluargaan haruslah dibangkitkan berserta dengan revolusinya agar pembaca dapat mengaplikasikan apa-apa yang dipelajari melalui bahan bacaan tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Remaja sangat menggemari bahan bacaan yang bertepatan dengan gaya hidup mereka. Karya seperti  ‘’Puteri Kampus’’ oleh Aisya Sofea  jelas mencerminkan gaya hidup remaja yang sering memberontak apabila dikongkong oleh keluarga. Jadi tema sesebuah karya pasti dapat menarik minat pembaca seandainya bertepatan dengan jiwa mereka kerana mereka akan dapat menyelami perwatakan watak semasa membaca karya tersebut dan menjiwainya sehingga akhirnya meninggalkan kesan yang mendalam.

            Pada masa yang sama, sesebuah karya itu akan menarik apabila jalan cerita yang ditampilkan tidak terlalu meleret-leret dan menimbulkan beberapa unsur kejutan atau peristiwa yang tidak diduga. Karya yang terlalu panjang dan meleret akan menimbulkan kebosanan kepada pembaca sehingga akhirnya berkemungkinan mereka akan melangkau sesetengah muka surat semata-mata untuk mengetahui pengakhiran cerita. Kesuntukan masa menyebabkan mereka menolak untuk membaca kerana menganggap bahan bacaan tersebut mengambil masa yang lama untuk dihabiskan. Penambahan unsur tragis atau saspens merupakan perencah dalam sesebuah karya. Hal ini demikian kerana sifat remaja yang gemar akan cabaran menyebabkan mereka tertarik untuk menduga jalan cerita bagi sesebuah karya. Perbezaan tersebut akan menyebabkan remaja semakin berminat untuk meneruskan pembacaan mereka sehingga helaian terakhir. Dengan cara ini, barulah hasrat untuk membudayakan pembacaan karya sastera dalam kalangan remaja akan terlaksana sekali gus sisipan pengajaran akan meresap ke jiwa mereka. Oleh itu, sesebuah karya yang menarik haruslah mempunyai jalan cerita yang menarik dan tidak membosankan.        

Seterusnya ciri-ciri sesebuah karya sastera yang menarik ialah mengandungi unsur-unsur imaginasi. Dalam era sains dan teknologi ini, saya dapat mengesan bahawa unsur tahyul dan imaginasi masih menjadi pilihan pembaca. Jika kita lihat, sinetron ‘’Bawang Putih Bawang Merah’’ yang ditayangkan oleh stesen televisyen TV3 telah mencapai tahap yang tertinggi dalam senarai rancangan televisyen yang paling diminati. Pada ghalibnya, masyarakat Malaysia pada hari ini gemar sesuatu yang bertentangan dengan kehidupan normal. Gaya penceritaan seperti ini banyak terdapat dalam hasil karya Nisah Haji Haron dan Ramlee Awang Murshid. Sebagai contoh, cerpen ‘’Annyss Sophillea’’ karya Nisah Haji Haron memuatkan kisah kehidupan manusia dari dua latar tempat yang berbeza, ditambah dengan kehidupan haiwan mistik seperti unicorn.  Karya Ramlee Awang Murshid pula lebih menampilkan unsur surealisme seperti dalam karya ‘’Rahsia Perindu’’ dan ‘’Tombiruo’’. Hasil karya seperti inilah yang sering menjadi pilihan remaja pada hari ini kerana ada kelainannya. Oleh hal yang demikian, penghasilan karya yang mempunyai jalan cerita yang unik atau lain daripada yang lain pasti akan lebih menarik minat masyarakat untuk menjadi santapan minda mereka.               

Selain itu, hasil karya yang menarik haruslah menampilkan gaya bahasa yang indah dan mudah difahami. Karya sastera yang menggunakan laras bahasa klasik sangat tidak digemari oleh pembaca, khususnya remaja kerana gaya bahasanya sukar dimengerti. Penggunaan ayat yang mudah lebih meninggalkan kesan dalam hati pembaca berbanding ayat yang panjang walaupun gramatis. Nisah Haji Haron contohnya, sering menggunakan istilah sains dan teknologi dalam hasil penulisannya. Walaupun begitu, istilah yang digunakan ialah istilah mudah yang sering terdapat dalam mata pelajaran Sains di sekolah. Hal yang demikian menyebabkan remaja gemar membaca hasil karya penulis ini kerana dapat mempelajari teknik pengaplikasian istilah sains dalam penulisan. Maka tidak hairanlah apabila karya yang menggunakan gaya bahasa yang indah dan laras bahasa yang mudah lebih mendapat tempat dalam hati pembaca.              

Di samping itu,  nilai dan pengajaran dalam sesebuah karya juga perlu diberi penekanan bagi menghasilkan karya yang menarik dan bermutu tinggi. Karya sastera yang seronok dibaca tetapi tidak meninggalkan sebarang pengajaran kepada pembaca tidak ubah seperti bahan picisan yang sekadar menjadi hiburan murahan.  Sesebuah karya haruslah menampilkan nilai-nilai murni yang dapat memberikan kesan kepada pembaca dan seterusnya secara tidak langsung membentuk jati diri pelajar bermoral tinggi dalam usaha melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama. Karya seperti ‘’Pewaris’’ oleh Rahimidin Zahari sarat dengan nilai-nilai Islamik yang tinggi. Nilai seperti ketaatan, keinsafan, kejujuran, dan keikhlasan yang ditampilkan mampu menyedarkan pembaca betapa langit itu tinggi atau rendah. Pembaca dapat menghayati kebesaran dan kekuasaaan Tuhan melalui Bagia Shaeif selaku watak utama dalam novel ini. Justeru, para penulis haruslah menitikberatkan mesej yang ingin disampaikan kepada pembaca , bukan sekadar untuk berhibur,  menitiskan air mata, atau berkhayal di alam fantasi sahaja tanpa berpijak di bumi nyata.  Dengan itu,sesebuah karya perlulah mengandungi nilai-nilai yang baik supaya dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian pembaca.              

Sebagai intiha,  dapatlah dikatakan bahawa tidak mudah untuk mendapatkan karya sastera yang menarik.  Penulis-penulis muda yang semakin prolifik mengasah mata pena mereka kini sewajarnya lebih peka akan kualiti bahan penulisan yang bakal diterbitkan untuk dijual dalam pasaran.  Seyogia,  yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Seandainya lebih banyak karya sastera yang menarik dan berkualiti dihasilkan, maka sudah pasti budaya membaca dalam kalangan generasi muda akan terus bercambah dan hasrat kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan menjelang tahun 2020 tidak hanya tinggal impian atau ‘’menanti kucing bertanduk’’.  Perkara ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dan tidak hanya berpeluk tubuh mengharapkan sesuatu keajaiban berlaku dengan sendirinya.

SUMBER:

Disesuaikan - http://subrato403.blogspot.com/2012/07/contoh-karangan-ciri-ciri-karya-sastera.html

    11.  

EKONOMI DINAMIK, NEGARA BERWIBAWA

     12.  

ASLI DAN KONTEMPORARI

     13.  

SEGALANYA BERMULA DI SINI

     14.  

SIHAT DAN BERSIH PILIHANKU

 

SOALAN:

Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu,kita perlulah menjaga kesihatan agar berada dalam keadaan yang baik.

Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk menjaga kesihatan diri.

JAWAPAN:

Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Dengan memiliki tubuh badan yang sihat, seseorang dapat melaksanakan aktiviti harian tanpa halangan. Anak-anak dapat ke sekolah menimba ilmu dan ibu bapa dapat mencari rezeki untuk keluarga. Bagi sesetengah orang, nikmat kesihatan hanya disedari apabila mereka diserang penyakit. Mereka sanggup menghabiskan wang membeli ubat dan makanan kesihatan untuk mengubati penyakit yang dihadapi. Tambahan pula, pelbagai ubat dan produk makanan kesihatan wujud di pasaran sekarang seperti “Cendawan tumbuh selepas hujan”. Oleh sebab peri pentingnya nikmat ini dalam kehidupan, beberapa langkah perlu diambil agar kesihatan kita terjamin.

Salah satu langkah yang perlu kita beri perhatian untuk menjaga kesihatan adalah dengan menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal. Keadaan di dalam dan di luar rumah hendaklah bersih daripada sampah sarap dan tempat-tempat air bertakung. Perkara ini akan dapat menghapuskan tempat pembiakan agen-agen penyakit seperti lalat, tikus, nyamuk dan lain-lain. Kita perlulah menyahut seruan kempen yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam iaitu kempen “Jumpa Sampah Kutip” dan kempen “Memerangi LILATI (lipas,lalat dan tikus).” Oleh itu, sampah perlu dibakar, dikambus atau dibuang di tempat khas. Pasu-pasu bunga dan longkang perlu diperiksa agar air tidak bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Dengan demikian, penyakit-penyakit bawaan vektor seperti taun, malaria, dan denggi dapat dielakkan. Tegasnya, menjaga kebersihan persekitaran merupakan langkah asas untuk kita semua ke arah mencapai tahap kesihatan yang optimum.

Selain itu, pemeriksaan kesihatan amat wajar dilakukan untuk memastikan kesihatan kita berada dalam keadaan baik. Mengikut saranan pakar perubatan, seseorang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun atau enam bulan sekali. Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah, paras gula dalam darah, tahap kolesterol dan lain-lain lagi. Tujuan pemeriksaan dibuat untuk memastikan tahap kesiahatan kita berada dalam keadaan sihat dan dapat mengesan penyakit kronik dengan lebih awal seperti penyakit darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, “Mencegah lebih baik daripada mengubatinya”. Bagi pesakit yang telah diserang penyakit ini, keadaannya akan boleh dikawal sebelum menjadi serius seperti peribahasa,“Cegah sebelum parah”. Pendek kata, kesihatan seseorang akan berada dalam keadaan baik jika kita secara berdisiplin menjalani pemeriksaan kesihatan diri di hospital-hospital secara berjadual.

Mengamalkan pemakanan seimbang tidak kurang pentingnya sebagai langkah menjaga kesihatan kita. Amalan pemakanan berkait rapat dengan kesihatan seseorang. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Inggeris tentang amalan pemakanan iaitu “What you are, is what you eat”. Boleh dikatakan seseorang yang mengamalkan pemakanan yang seimbang akan memperoleh kesihatan yang baik. Mengamalkan pemakanan seimbang bermakna seseorang mengambil makanan yang berkhasiat dan berzat sesuai dengan keperluan tubuh badan seseorang. Seseorang individu memerlukan makanan yang sesuai berdasarkan usia, pekerjaan dan keperluan-keperluan lain. Sebagai contohnya, seorang bayi memerlukan lebih kalsium berbanding orang dewasa yang memerlukan lebih protein. Untuk lebih jelas, seseorang perlu merujuk kepada piramid makanan sebagai panduan untuk mendapatkan gizi seimbang. Sehubungan dengan itu, makanan ringan dan minuman bergas perlu dielakkan kerana boleh memudaratkan kesihatan kita. Pendek kata, langkah terbaik untuk mencapai tahap kesihatan adalah dengan mengamalkan diet makanan seimbang.

Seterusnya, kesihatan kita akan lebih terjamin jika kita melakukan kegiatan riadah. Amalan riadah seperti berenang, joging, menunggang basikal dan kegiatan sukan lain adalah baik untuk kesihatan. Pensyarah Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Zulkifli Abdul Kadir, menyarankan setiap individu melakukan kegiatan riadah selama 30 minit dua kali seminggu bagi mendapatkan tahap kesihatan yang optimum. Kegiatan riadah ini akan menjadi kebiasaan jika setiap hari kita melakukannya dengan penuh disiplin dan istiqamah sesuai dengan peribahasa, “Alah bisa tegal biasa.” Dengan melakukan kegiatan riadah, otot-otot tubuh akan lebih bertenaga dan kecergasan badan akan bertambah baik. Di samping itu, seseorang dapat menghirup udara segar semasa melakukan senaman di taman-taman permainan serta dapat mengurangkan tekanan atau stress selepas seharian penat bekerja di pejabat. Seyogia disarankan agar kita dapat melakukan kegiatan senaman secara untuk memperoleh kesihatan yang baik.

Amalan gaya hidup sihat merupakan langkah yang tidak kurang pentingnya untuk mendapatkan kesihatan yang baik. Kini, kita dikejutkan dengan bermacam-macam amalan hidup yang negatif telah menular dalam masyarakat kita. Antara gaya hidup yang negatif ialah amalan seks rambang dan bebas, melanggani pelacur, penagihan dadah dan pil-pil khayal, ketagihan arak serta lain-lainnya. Begitu juga amalan merokok yang masih menjadi sebahagian cara hidup muda-mudi dan remaja dalam masyarakat kita seolah-olah kempen “Katakan Tak Nak Pada Rokok” giat dijalankan. Sudah tentu, gaya hidup tidak sihat akan mengundang penyakit seperti Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS), siflis dan lain-lain. Amalan-amalan sebegini perlu dijauhkan seterusnya mengamalkan cara hidup sihat berdasarkan norma-norma agama dan budaya timur kita. Lantaran itu, beralihlah kepada cara hidup sihat bagi mendapatkan kesihatan yang baik sebagaimana kempen “Gaya Hidup Sihat” yang diuar-uarkan oleh kerajaan.

Sebagai kesimpulannya, penjagaan kesihatan perlu menjadi agenda dan keutamaan dalam hidup kita seharian. Pelbagai langkah boleh diambil untuk memperoleh kesihatan yang baik. Antaranya, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, mengambil pemakanan seimbang dan melakukan kegiatan riadah. Kita haruslah lebih prihatin dan mengambil berat tentang kesihatan diri agar dapat menjalani kehidupan yang berkualiti. Individu yang sihat akan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara selaras dengan slogan, “Rakyat Sihat Negara Sejahtera”.

SUMBER:

 

 

     15.  

ANGIN PERUBAHAN MEMBADAI

     16.  

DIPIMPIN UNTUK MEMIMPIN

 

SOALAN:

Sebagai seorang remaja, anda juga merupakan seorang belia yang mempunyai peranan penting dalam membangunkan dan memajukan negara ini.

Ulaskan penyataan di atas.

 

JAWAPAN:

      Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan, namun remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti generasi muda di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara sarjana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya pada hari ini.” Mantan Presiden Indonesia, Soekarno pernah mengungkap,  “Jika diberikan aku seratus orang tua, nescaya aku mampu menterbalikkan perahu yang tertangkup tetapi, jika aku diberikan sepuluh orang muda, nescaya aku dapat mengegarkan dunia”. Bait-bait susunan retorik yang penuh puitis ini telah menjadi satu menifestasi dalam usaha membangunkan golongan belia dan generasi muda. Ternyatalah di sini bahawa remaja mahupun golongan belia yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Oleh itu, saya perlu memainkan peranan saya dengan penuh tanggungjawab untuk merencanakan pembangunan negara.

 

      Peranan saya yang signifikan ialah saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dari aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan yang pemimpin negara yang berkualiti demi menjamin masa hadapan negar yang cerah terutamanya dalam aspek pembangunan negara. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, saya perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Saya juga tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa binasa.  Seorang tokoh cendekiawan Islam pernah berkata bahawa petanda runtuhnya sesuatu bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa tersebut amat  mencintai hiburan Tegasnya, tanpa remaja dan golongan yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut. 

 

      Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin pembangunan negara jika generasi muda kita seperti saya tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental yang seimbang. Generasi muda yang ingin membangunkan negara perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baharu yang penuh dengan kompetitif, muda-mudi negara perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan generasi muda di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, saya patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja mahupun golongan belia harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan rakyat sihat, negara maju. Jadi, muda-mudi negara yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat melaksanakan pembangunan negara.

 

      Selain itu, saya juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Golongan muda harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, saya haruslah mengamalkan segala suruhan agama dan meninggalkan semua larangan agama. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Saya mestilah sentiasa mendekatkan diri kepada Tuhan dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang mungkar seperti menagih dadah, berzina dan mencuri.  Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, golongan muda juga harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang-orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Dalam konteks ini, saya dapat membantu pembangunan negara dengan memastikan negara bebas daripada ancamana masalah sosial. Dengan kata lain, golongan remaja dan belia negara harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan negara yang maju sama ada secara luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti.

 

      Seperkara lagi, saya juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu pembangunan negara yang gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, golongan remaja dan belia kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi remaja. Pendek kata, pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif.

 

    Akhir sekali, saya juga dapat memainkan peranan saya untuk membangunkan negara dengan memiliki sikap keterbukaan. Hal ini kerana apabila kita mempunyai sifat sedemikian, kita lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain. Dalam nada yang serupa, kita dapat memberi kesan kepada negara kita. Kita dapat menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Kitalah yang akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Sebagai contohnya, saya mestilah sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur untuk mencapai misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni, satu bangsa satu bahasa dan satu negara. Hal ini bermakna saya perlu mengamalkan perpaduan sama ada di sekolah atau di tempat-tempat lain. Dengan ini, keharmonian negara dapat dipelihara dan pembangunan negara dapat dijalankan dengan lancar dalam suasana negara yang aman harmoni. Maka, sifat keterbukaan golongan muda yang belum keras ubun-ubunnya sudah pasti dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negaranya dengan penuh komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya.

 

      Secara intihanya, semua remaja dan belia negara termasuklah saya mempunyai tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjanakan pembangunan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Pemusa-pemudi negara merupakan tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja dan belia yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika mereka tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, generasi yang merupakan aset negara ini perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia.

 

SUMBER:

 

SOALAN:

Ungkapan “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara” lumrah disebut kepada golongan remaja untuk memberi semangat supaya mereka mengambil bahagian aktif dalam pembangunan negara.

Huraikan ciri-ciri kepemimpinan yang perlu dimiliki oleh seseorang remaja sebagai bakal pemimpin masa depan negara.

JAWAPAN:

        “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”.  Sudah terang lagi bersuluh bahawa pemuda-pemudi dalam negara kita merupakan individu yang bakal memacu pentadbiran negara pada masa hadapan. Dalam mencapai status negara maju pada tahun 2020, pelbagai cabaran dan konkurensi yang sengit yang harus ditempuhi oleh negara dan hal-hal ini perlu dipikul oleh golongan belia dalam negara kita kerana merekalah merupakan nadi kepada bangsa Malaysia. Oleh yang demikian, saya sebagai remaja, haruslah menyiapkan diri dalam pelbagai aspek sebelum saya menggalas tugas sebagai pemimpin negara pada masa akan datang. Persoalannya, apakah ciri-ciri yang harus saya miliki sebagai belia yang akan menjadi tonggak negara pada masa hadapan?

    Terdapat peribahasa Melayu yang berbunyi, “Ibarat keris panjang sekeluk, ke mana pergi ke mana elok” yang bermaksud seorang pemimpin yang baik akan tetap berguna kepada rakyat walau di mana-mana dia berada. Seorang pemimpin yang baik hendaklah mempunyai pedagogi ataupun pendidikan yang tinggi. Pendidikan merupakan wahanayang tepat kerana pendidikan mampu mematangkan pemikiran seseorang. Dengan adanya pemikiran yang matang, buah fikiran yang baik untuk mencetuskan pembangunan negara mampu dicetuskan. Saya dan belia-belia lain hendaklah menggunapakaikan pendidikan dengan sebaik-baiknya kerana sebuah bangsa yang tidak mempunyai pendidikan merupakan sebuah bangsa yang tidak akan pernah maju. Oleh itu, sebagai pemacu pentadbiran negara pada masa hadapan, saya haruslah menjadi seseorang yang berpendidikan kerana persis mutiara kata “ Ilmu lebih mulia daripada harta kerana ilmu menjaga manusia sedangkan harta dijaga oleh manusia”.

    Seterusnya, ciri-ciri yang perlu saya miliki adalah patuh kepada ajaran agama. Ajaran agama merupakan akses fundamental kepada keperibadian yang lebih sempurna dan mulia. Hal ini demikian , ajaran yang disampaikan oleh agama dapat dipraktikkan oleh masyarakat dalam kehidupan harian. Hasilnya ialah, sebuah komuniti yang lebih bertamadun dapat diwujudkan. Selain itu, dengan adanya ajaran agama, saya dapat menggelakkan diri daripada terjebak dalam kancah sosial di luar rumah. Hal ini disebabkan oleh kemurniaan ajaran sesebuah agama dapat mematangkan pemikiran seseorang. Dengan berbekalkan pemikiran yang matang, seseorang itu dapat membezakan perkara yang baik dan yang buruk. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa ajaran agama amat penting dalam menyediakan seseorang individu untuk menjadi pemimpin masa hadapan.

    Bukan itu sahaja, untuk menjadi tonggak negara pada masa hadapan saya hendaklah melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran. Kemahiran-kemahiran seperti kemahiran komunikasi di hadapan umum, kemahiran bersosial dan sebagainya perlu dikuasai untuk menambahkan keyakinan diri. Seseorang pemimpin perlulah mempunyai keyakinan diri dalam menjalankan tugas mereka. Dengan itu, mereka akan sentiasa disanjungi dan dihormati oleh masyarakat yang dipimpin oleh mereka. Selain itu, saya hendaklah mempunyai motivasi ekstrinsik dan instrinsik bagi membolehkan saya bersemangat dan dapat mendorong saya ke arah yang lebih maju kerana lebih banyak motivasi diri seseorang itu, lebih terdorong juga seseorang itu untuk memajukan dirinya.

    Riwayat Muslim ada mengatakan “sedarlah, bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab terhadap kepimpinan kamu”. Riwayat ini jelas menyatakan bahawa seseroang pemimpin haruslah mempunyai nilai bertanggungjawab dalam diri mereka. Hal ini demikian kerana tanggungjawab dalam kepimpinan, mustahil kita dapat menggembalakan manusia. Ibu bapa dan para guru di sekolah hendaklah mempraktikkan nilai ini didalam diri anak-anak mereka dengan menunjukkan sikap yang bertanggungjawab dalam setiap perlakuan mereka. Golongan ini haruslah ingat bahawa anak-anak akan memerhatikan dan mengikuti semua jejak orang yang lebih dewasa dan mereka persis mutiara kata “Guru kencing berdiri, murid kencing berlari”.  Tuntasnya seseorang pemimpin perlu mempunyai nilai bertanggungjawab dalam dirinya.

    Selain itu, pemimpin negara pada masa hadapan hendaklah meletakkan agenda perpaduan negara sebagai yang terpenting. Agenda perpaduan tersebut melebihi segala agenda penting yang diperlukan dalam membangunkan negara yang maju. Sekiranya seseorang pemimpin tidak mengetengahkan perpaduan dalam membangunkan negara, pasti pembangunan negara tidak akan dapat mencapai matlamatnya. Selain itu, saya juga perlu mempraktikkan perpaduan sesama rakan-rakan di sekolah. Dengan modus operandi yang sebegini, saya dapat menonjolkan jati diri sebagai seorang pemimpin yang berkaliber pada masa hadapan. Bukan itu sahaja, saya juga bersedia memperjuangkan kemerdekaan tanah air supaya tidak dijajah buat kali yang kedua kerana kemerdekaan sesebuah negara yang tidak mudah dicapai, bak kata Tun Dr Mahathir “..bukan kecil tugas kita untuk meneruskan perjuangan kemerdekaan kerana mengisi kemerdekaan itu lebih sengsara”.

   Natijahnya, menjadi seorang pemimpin bukanlah sesuatu  yang mudah untuk dilaksanakan. “Kurangkan bercakap, lebihkan tindakan” merupakan prinsip seseorang pemimpin yang baik. Saya sedar bahawa sebagai seorang belia yang bakal memegang tonggak negara pada masa hadapan perlulah seimbang dari semua aspek dan tidak seharusnya bersikap seperti segelintir pemimpin yang hanya makan gaji dan bersikap materialistik namun tidak melakukan apa-apa yang mendatangkan faedah buat masyarakat. Selain itu, saya hendaklah bijak memanfaat setiap peluang yang terbuka untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan. Oleh yang demikian, belia pada zaman pascakemerdekaan ini tidak seharusnya hanyut dibawa arus kemodenan kerana belia pada hari ini adalah cerminan negara pada masa yang akan datang.

 SUMBER:

Disesuaikan - https://theluckypotato.blogspot.com/2017/10/karangan-spm-remaja-tonggak-masa.html

 

 

 

 

 BUKU TEKS BAHASA MELAYU TINGKATAN 5

 

BIL

TEMA

1.     

 ANDA BERSIH ANDA SIHAT

 

SOALAN:

Kebersihan diri merupakan kebersihan tubuh badan yang perlu dijaga oleh setiap individu bagi menjamin kesejahteraan hidup.

 

Sebagai remaja yang mengutamakan kesihatan, cadangkan cara-cara anda menjaga kebersihan diri.

 

JAWAPAN:

            Bagi memulakan arena perbincangan dalam isu ini, saya tergerak hati untuk memetik pepatah dalam bahasa Arab yang bermaksud, “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”. Mendalami kandungan tersirat pepatah tersebut, jelaslah bahawa kebersihan merupakan rukun utama untuk menentukan tahap tinggi atau rendah keyakinan seseorang terhadap Khaliq. Kebersihan juga menjadi lambang ketamadunan dan taraf berfikir sesuatu bangsa sama ada bertaraf maju atau primitif. Oleh hal yang demikian, kebersihan sering menjadi kayu ukur akan kesejahteraan hidup berdasarkan slogan, “Rakyat Bersih Negara Sejahtera”. Oleh itu, sebagai remaja pascamilenium ini, saya amat beriltizam untuk mengamalkan gaya hidup bersih dan sihat sejajar dengan matlamat melahirkan generasi sihat, cerdas, pintar dan berdaya saing.

 

Kebersihan yang nyata adalah yang tampak pada zahirnya. Walau bagaimanapun, kebersihan yang hakiki hendaklah bermula daripada kebersihan batiniah. Oleh itu, saya amat cakna dalam urusan kebersihan sama ada zahir mahupun batin. Aura yang terpancar pada wajah menjadi bacaan hati dalam diri seseorang. Dalam hal ini Imam Al Ghazali dalam nukilannya pernah menyatakan, “Mahu melihat kecantikan diri bercerminlah, sebaliknya mahu melihat kecantikan batin bercerminlah pada wajah. Oleh itu, sebelum zahir dilihat cantik, saya perlu menghiasi jiwa dan rohani. Mengamalkan sifat-sifat seperti takwa, bersyukur dan amanah merupakan santapan jiwa yang akhirnya akan terpancar pada peroman. Hal demikian amatlah tepat dengan kata-kata dalam lirik ‘Wajah Cerminan Hati’ dendangan penyanyi tersohor 1960-an, iaitu A Ramlie, yang berbunyi;

Andai hati tak sayang wajahmu lain sekali

Andai hatimu jujur, wajah cerminan hati.

 

Disiplin dan amalan secara rutin ialah anak kunci kepada kebersihan diri. Dalam hal ini, saya amat sedar bahawa tanpa disiplin tiada apa-apapun yang kita lakukan boleh berjaya. Sehubungan dengan pengurusan penjagaan diri, rutin harian hendaklah saya susun bermula dari bangun tidur hinggalah tidur semula. Perkara-perkara penting seperti mandi, bersiap, makan, belajar, beriadah dan berehat hendaklah dilakukan secara berjadual dan berlangsung selagi hayat dikandung badan. Sikap melakukan sesuatu kerja secara sambalewa amat mudah menjadi virus untuk menyerang minda dan habit kita supaya mengabaikan pengurusan diri. Kesudahannya, diri kita menjadi tidak terurus, kurang bersedia dan yang lebih malang lagi mudah diserang penyakit sama ada penyakit fizikal mahupun penyakit emosi seperti kemurungan. Benarlah seperti yang pernah difatwakan oleh tokoh bijaksana bahawa, “Apabila kita gagal merancang, justeru kita merancang untuk gagal”.

 

Aspek penampilan diri juga wajar saya ambil kira dalam hal menjaga kebersihan diri. Penampilan diri yang tampan, segak dan bergaya boleh memberi saya keyakinan diri dan yakin pula untuk berkomunikasi dengan khalayak. Saya seharusnya menjaga kebersihan pakaian, cara berpakaian dan cara bercakap apabila berkomunikasi. Inilah beberapa sifat yang boleh menonjolkan diri kita agar dilihat harmoni hati nurani, tajam minda dan mata hati serta matang akal budi. Pokok pangkalnya, kebersihan hendaklah meliputi segala perkara sama ada badaniah, rohaniah, insaniah dan alamiah.

 

Kesihatan ialah aset besar yang membolehkan seseorang itu tampil sebagai individu seimbang dan harmonis sama ada dalam aspek fizikal mahupun rohani. Oleh hal yang demikian, saya sangat mengutamakan perihal kesihatan dalam memastikan diri dilihat bersih, kemas, berkeyakinan dan terampil. Kecaknaan terhadap kebersihan tubuh badan memberi impak yang besar terhadap penjagaan kesihatan. Oleh itu pemilihan makanan, berehat dan riadah hendaklah diberi perhatian yang teliti. Selain itu, kesihatan mental dan emosi boleh membuka dimensi yang luas dalam persahabatan. Di sinilah terminologi utama yang boleh membentuk insan seimbang dalam aspek jasmani, emosi dan rohani. Sesungguhnya, amatlah kontradiksi untuk merealisasikan kebersihan diri sama ada zahir atau batin seandainya kesihatan diri kita tidak terurus.

 

Kebersihan diri turut terpancar apabila kebersihan persekitaran tempat tinggal kita turut terjaga. Hal ini amatlah penting kerana kehidupan yang mesra alam itu merupakan teras utama untuk hidup sihat dan selamat. Hal-hal yang berkaitan dengan kebersihan rumah tangga seperti tempat tidur, bilik mandi dan tempat makan hendaklah saya jaga. Semua elemen ini menjadi persekitaran tetap kepada diri kita. Seandainya tidak diuruskan dengan baik, justeru banyak anasir yang boleh mengancam kebersihan dan kesihatan. Pelbagai penyakit seperti penyakit berjangkit, serangan kuman dan udara yang tidak bersih boleh membawa musibah penyakit. Sewajarnya, kawasan sekitar hendaklah dibersihkan dan dihiaskan dengan pokok-pokok bunga serta landskap yang menarik. Sebenarnya, semua perkara tersebut menjadi aset untuk jiwa, minda dan emosi saya menjadi tenang dan stabil.

 

Kesimpulannya, kebersihan diri menjadi perhiasan zahir dan batin seseorang insan. Insan yang bersih ialah insan yang kenal tentang dirinya dan tahu tentang matlamat dirinya dijadikan Tuhan. Dalam Islam, Allah amat mementingkan perihal kebersihan dan keindahan sejajar dengan firman yang bermaksud, “Allah itu cantik dan amat suka akan kecantikan”. Berpandukan petunjuk tersebut, selaku anak muda harapan bangsa dan negara saya harus memperlengkap diri dengan pakej penampilan diri yang segak, kemas dan sihat. Saya juga perlu menyempurnakan sahsiah dengan ilmu pengetahuan dan pekerti yang baik. Demikian pakej anak muda yang bakal menggalas tanggungjawab untuk merealisasikan hasrat Negara Berpendapatan Tinggi yang diidam-idamkan.

 

(Sumber:

Disesuaikan - http://cuit-cuitbahasa.blogspot.com/2015/10/tudingan-akhir-karangan-spm-5.html)  

 

2.     

 SUKAN DAN REKREASI

 

SOALAN:

Aktiviti sukan merupakan pilihan masyarakat terutama golongan remaja untuk mengisi masa lapang. Walaupun begitu, faedah-faedah melebihi daripada itu.

 

Huraikan faedah-faedah sukan dan rekreasi kepada masyarakat.

 

JAWAPAN:

 

Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai riadah kecil kerana semasa bersukan proses merembes keluar bahan bahan kumuh yang tidak diperlukan tubuh badan berlaku melalui perpeluhan . Mutakhir ini, pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan membawa falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih dinamik dan professional melalui pertubuhan bukan kerajaan dan juga Kementerian Belia dan Sukan. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di gelanggang sahaja tetapi juga boleh menambah dan menyumbang sumber pendapatan individu dan keluarga. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada maasyarakat?

 

            Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran. Golongan profesional dan separa profesional pada alaf baru sering berlumba-lumba untuk meningkatkan sumber ekonomi diri dan keluarga sehingga mengabaikan kegiatan fizikal akibat kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan semua lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Penglibatan golongan kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai kegiatan sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Kegiatan sukan merupakan  langkah awal seperti kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan” dalam mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Kegiatan sukan  juga dapat membantu mereka yang  menghidap penyakit untuk kembali pulih. Bahkan juga penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental. Sesungguhnya kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak yang berlebihan dalam salur darah dan jantung ,membantu perkumuhan dan membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh badan. Sekiranya, aktiviti bersukan menjadi amalan masyarakat, sudah pasti bilangan pesakit kronik negara dapat dikurangkan kerana tubuh badan yang cergas, melahirkan otak yang cerdasSeyogia, mencegah lebih baik daripada mengubati Tegasnya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat yang sihat.

 

            Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa senggang individu. Masa lapang sebenarnya amat berharga bagi  setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang melibatkan diri dalam bidang sukan dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah kerana masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu sangat berharga . Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan atau stres. Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , gejala vandalism serta hedonisme  dan membuang masa sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Malah aktiviti riadah ini dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesan amat jelas kerana dengan bersukan sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan melangkah gagah  dengan yakin ke peringkat antatabangsa  walaupun melalui ranjau pidana  dunia persaingan hari ini. Jikalau aktiviti senggang ini digunakan untuk beriadah sudah pasti negara akan dapat melahirkan atlet negara bertaraf dunia. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat memanfaatkan masa dengan lebih bermakna.

 

            Di samping itu, sukan merupakan  salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat negara yang berbilang kaum. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan.  Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat  manusia kerana muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Sekiranya, amalan bersukan menjadi budaya masyarakat sudah pasti keakraban dan kesepaduan masyarakat akan terjalin dan masalah perkauman akan dapat dielak. Justeru , kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan hubungan antara mereka.

 

            Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan secara individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya boleh meningkatkan ekonomi mereka. Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat  glokal dan global mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran wang asing kepada negara. Seiring dengan itu, industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan sukan menampakkan hala tuju  anak muda yang berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai  kerjaya masa depan mereka. Pemain bola sepak secara professional, pemain badminton  seperti Datuk Lee Chong Wei  dan Shalin Zulkifli masing-masing menjadikan badminton dan  bowling sebagai kerjaya. Apabila budaya bersukan menjadi budaya masyarakat  bukan sahaja tubuh badan mereka sihat, malah mereka dapat  meningkat sara hidup yang kini kian meningkat. Jelaslah sukan juga dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat.

            Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada masyarakat. Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua jenis aktiviti sukan kerana bersukan dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.  Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada individu, masyarakat dan negara. Tegasnya,  kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.

SUMBER:

Disesuaikan - https://cikguramsulbmspm.blogspot.com/2017/11/contoh-karangan-yang-boleh-menjadi.html

 

3.     

 KERJAYA MENITI JAYA

4.     

 BERSATU KITA TEGUH

 

SOALAN:

Perpaduan kaum asas keharmonian negara.

Ulaskan pernyataan di atas.

JAWAPAN:

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya dapat hidup dalam keadaan harmoni. Banyak negara di dunia menjadikan Malaysia sebagai negara yang patut dicontohi kerana masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman walaupun berbilang bangsa, agama dan budaya. Hal ini demikian kerana kebijaksanaan pemimpin kita yang menjadikan perpaduan kaum sebagai keutamaan bagi membina sebuah negara bangsa yang maju menjelang tahun 2020 nanti. Pada pendapat saya, banyak kepentingan yang dapat diperoleh jika perpaduan kaum dapat dikukuhkan dalam kalangan masyarakat.

Masyarakat yang harmoni dapat dilahirkan jika kaum-kaum di Malaysia dapat menerima antara satu sama lain tanpa wujud prasangka dan pergeseran sehingga boleh menimbulkan konflik antara kaum. Pengalaman 13 Mei 1969 suatu ketika dahulu banyak mengajar kita supaya menjadikan perpaduan kaum sebagai keutamaan. Kini, masyarakat pelbagai kaum di Malaysia sudah hidup bersatu padu dan saling memerlukan antara satu sama lain. Mereka saling bekerjasama, menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Keterbukaan pemimpin negara dalam bidang pendidikan banyak menyumbang ke arah perpaduan kaum.  Sebagai buktinya, di Malaysia wujud Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang masing-masing menggunakan bahasa ibunda, tetapi pada masa yang sama bahasa lain boleh dipelajari. Hal inilah yang menyebabkan semua kaum di Malaysia dapat hidup dalam keadaan harmoni kerana  perasaan prejudis kepada kaum lain tidak wujud. Jelas menunjukkan bahawa masyarakat yang harmoni mampu diwujudkan jika perpaduan antara kaum dapat dikukuhkan.

Selain itu, ramai pelancong  luar negara berkunjung ke Malaysia kerana tertarik dengan budaya masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia. Banyak keunikan cara hidup masyarakat pelbagai kaum dapat ditonjolkan seperti kepelbagaian makanan, pakaian, rumah ibadat, kesenian dan sebagainya kepada pelancong asing. Keunikan inilah yang menyebabkan pelancong dari Eropah, Timur Tengah dan Asia Timur datang ke Malaysia untuk melihat dengan lebih dekat kebudayaan pelbagai kaum. Sebagai buktinya, pada tahun lalu seramai 25 juta orang pelancong asing datang ke negara kita hasil daripada usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh mempromosikan keunikan yang terdapat di Malaysia khususnya kebudayaan pelbagai kaum yang terdapat di sini. Menteri pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen menjelaskan bahawa usaha untuk menarik 30 juta pelancong asing ke Malaysia pada tahun 2012 sedang digiatkan dan fokus kementerian adalah menganjurkan festival kebudayaan pelbagai kaum yang terdapat di negara kita. Jadi, perpaduan kaum yang kukuh di negara kita mampu menarik pelancong asing datang ke sini.

Di samping itu, perpaduan kaum juga secara tidak langsung mampu mengukuhkan ekonomi negara. Tidak dapat dinafikan bahawa antara sebab utama pelabur asing berani menanam modal di sesebuah negara adalah kerana kestabilan politik dan perancangan kerajaan yang mesra pelabur. Hal ini kerana mereka tidak mahu modal yang dilaburkan di sesebuah negara akan rugi akibat pergolakan yang berlaku di sesebuah negara. Malaysia bertuah kerana menjadi destinasi pelabur asing dari Amerika, Eropah, Jepun, China dan India. Baru-baru ini, pelabur dari China membawa modal sebanyak RM1.5 bilion untuk dilaburkan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi di Cyberjaya kerana yakin dengan usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk memacu negara menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 nanti. Sudah tentu modal yang dilaburkan itu mampu menjana pendapatan kepada negara sekali gus  menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Pelabur ini  berani menanam modal di sini adalah tidak lain dan tidak bukan kerana kestabilan politik negara ekoran daripada masyarakat yang hidup bersatu padu tanpa sebarang perbalahan. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa perpaduan kaum mampu mengukuhkan ekonomi negara.

Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia juga mampu meningkatkan imej negara di mata dunia. Memang tidak dapat dinafikan bahawa  negara pada masa kini sudah berada di peta masyarakat antarabangsa ekoran daripada usaha kerajaan yang berterusan membina negara yang disegani di peringkat dunia. Kepimpinan yang ada pada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed menjadi perintis untuk meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju yang lain. Ketokohan yang ada pada beliau telah menjadikan negara-negara dunia ketiga sebagai model dan orang yang boleh bersuara untuk membela nasib mereka di pentas dunia. Selain kepimpinan negara, Malaysia juga dikenali di pentas antarabangsa adalah kerana kestabilan masyarakat yang wujud di negara kita. Sebagai buktinya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang ke-9 paling aman di dunia berdasarkan kajian yang dilakukan oleh sebuah badan bebas yang berpengkalan di  Amerika Syarikat. Hal ini sangat jelas menunjukkan bahawa pengiktirafan sedemikian adalah kerana masyarakat Malaysia hidup bersatu padu sehingga keadaan menjadi aman dan harmoni.

Kesimpulannya, perpaduan merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Banyak negara di dunia menghadapi konflik atau perang saudara kerana wujud prejudis antara masyarakat. Kita sering kali melihat atau mendengar melalui media massa sama ada media cetak atau media elektronik mengenai pertempuran yang berlaku sehingga mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa seperti warga tua dan kanak-kanak. Keadaan ini tidak berlaku di Malaysia kerana masyarakat kita saling menghormati antara satu sama lain. Oleh itu, saya menyeru supaya kekalkanlah perpaduan yang telah kita bina ini agar aspirasi kepimpinan  negara untuk menjadi  negara maju dapat direalisasikan.

SUMBER:

Disesuaikan - https://contohkaranganspm.wordpress.com/2017/01/30/kepentingan-mengamalkan-perpaduan-kaum-dalam-kalangan-masyarakat/

 

 

5.     

 PENDIDIKAN UNTUK SEMUA

6.     

 SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI

 

SOALAN:

Sains dan teknologi merupakan bidang yang amat penting pada zaman sekarang.

Huraikan cara-cara memupuk Budaya Sains dan Teknologi dalam kalangan pelajar.

 

JAWAPAN: 

Ekoran kemajuan sains dan teknologi, terciptalah pelbagai alatan yang memudahkan urusan harian manusia.  Penciptaan kenderaan canggih membolehkan sesiapa sahaja bergerak ke sana ke sini dalam masa yang singkat.  Penemuan kaedah rawatan moden pula telah membantu pihak perubatan mengesan dan merawat penyakit dengan lebih berkesan. Walaupun kepentingan sains dan teknologi diakui, namun kesedaran orang ramai, khususnya pelajar tentang perkara ini masih kurang.  Sehubungan dengan itu, usaha untuk memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan pelajar perlu dilakukan.

           

            Bagi mencapai matlamat tersebut, ibu bapa hendaklah memperkenalkan “dunia sains dan teknologi” kepada anak-anak.  Selain memberitahu anak-anak tentang kepentingan budaya sains dan teknologi dalam kehidupan era moden, ibu bapa seharusnya membawa anak-anak mengunjungi pameran sains dan teknologi yang sering diadakan.  Tujuannya adalah untuk menanam minat anak- anak terhadap sains dan teknologi sejak awal lagi.  Bagi anak-anak yang menunjukkan minat mereka terhadap bidang ini, galakan hendaklah diberikan agar minat tersebut dapat disuburkan.

           

           Sesetengah pelajar beranggapan bahawa Sains merupakan mata pelajaran yang sukar dipelajari.  Oleh hal yang demikian, fobia terhadap mata pelajaran Sains perlu dihilangkan dalam diri pelajar.  Di sekolah, Unit Bimbingan dan Kaunseling harus mengadakan ceramah untuk membetulkan tanggapan tersebut.  Kesedaran tentang hal ini juga perlu diberikan kepada ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).  Selain itu, pelajar yang telah berjaya dalam bidang tersebut boleh diundang untuk memberikan penjelasan kepada pelajar tentang perlunya budaya sains dan teknologi pada era globalisasi.  Langkah ini penting untuk membina keyakinan dalam diri pelajar bahawa sains dan teknologi mampu dipelajari oleh sesiapa sahaja.

           

            Di sekolah, guru mata pelajaran Sains hendaklah memberikan penekanan kepada aspek amali dan penyelidikan, di samping penekanan terhadap teori.  Selain itu, pertandingan reka cipta sains perlu diadakan dari semasa ke semasa.  Aktiviti ini penting untuk meningkatkan inovasi dan kreativiti pelajar.  Ganjaran yang setimpal perlu disediakan untuk menarik lebih ramai pelajar mengambil bahagian.  Usaha ini dipercayai dapat meningkatkan minat pelajar terhadap sains dan teknologi, sekali gus memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan generasi muda di negara ini.

           

            Seterusnya, institusi pengajian tinggi pula hendaklah menawarkan lebih banyak kursus yang berkaitan dengan sains dan teknologi.  Dengan berbuat demikian, lebih ramai pelajar berpeluang untuk mengikuti pengajian dalam bidang tersebut.  Pada masa yang sama, pihak institusi yang berkenaan hendaklah menyediakan kemudahan pembelajaran sains dan teknologi yang mencukupi untuk membolehkan pelajar mengikuti pengajian dengan berkesan.  Di samping itu, insentif kepada pelajar yang cemerlang dalam bidang tersebut wajar diberikan sebagai pendorong agar pelajar berusaha untuk menguasai bidang tersebut.  Oleh hal yang demikian, pihak institusi pengajian tinggi harus memikirkan pelbagai kaedah untuk menarik minat generasi muda dalam bidang sains dan teknologi.

           

            Di samping itu, Kementerian Pendidikan mengadakan Kempen Budaya Sains dan Teknologi dalam kalangan pelajar.  Sehubungan dengan itu, wacana ilmu yang berkaitan dengan bidang sains dan teknologi telah diadakan dari semasa ke semasa.  Sebagai contoh, aktiviti forum dan wawancara tentang sains dan teknologi diadakan sepanjang pelaksanaan kempen itu.  Selain itu, peraduan menulis esei, pidato, melukis poster, dan mencipta puisi yang bertemakan sains dan teknologi telah diadakan khusus untuk pelajar sekolah.  Kempen yang berterusan ini diyakini dapat memupuk budaya sains dan teknologi dalam kalangan generasi muda di negara ini.

           

           Sesungguhnya, bidang sains dan teknologi banyak mendatangkan faedah kepada kehidupan manusia. Pelajar hendaklah memantapkan ilmu dalam bidang ini.  Selain itu, kesedaran semua pihak tentang kepentingan sains dan teknologi amatlah penting.  Dengan adanya kesedaran sedemikian, usaha pemupukan budaya sains dan teknologi dalam kalangan pelajar akan mencapai matlamatnya.  Akhir kata, sama-samalah kita memainkan peranan dalam memartabatkan bidang sains dan teknologi demi kemajuan negara. 

 

(Sumber:

Disesuaikan - http://karanganpelajarstpm.blogspot.com/2014/01/cara-memupuk-budaya-sains-dan-teknologi.html

 

7.     

 PERTANIAN, PENTERNAKAN DAN PERIKANAN

8.     

 MELANCONG MENCARI MAKNA

9.     

 EKONOMI, KEUSAHAWANAN DAN PENGURUSAN KEWANGAN

 

SOALAN:

 

Salah satu usaha untuk memupuk semangat keusahawanan di setiap sekolah adalah dengan menubuhkan koperasi. Walaupun begitu, masih ramai yang memilih untuk membeli barangan keperluan di kedai-kedai di luar sekolah.

 

Bincangkan kebaikan-kebaikan koperasi sekolah.

 

JAWAPAN:

 

            Setiap sekolah mempunyai koperasi yang tersendiri. Lazimnya, koperasi ini didaftarkan di bawah Akta Koperasi dan bernaung dengan Angkatan Koperasi Nasional (ANGKASA). Koperasi sekolah ini dikendalikan oleh Ahli Lembaga Pengarah yang terdiri daripada guru-guru dan diuruskan oleh pelajar sekolah. Satu organisasi yang terdiri daripada para pelajar dibentuk untuk membantu guru menguruskan koperasi sekolah ini. Penubuhan koperasi sekolah mendatangkan banyak faedah kepada warga sekolah. Persaolannya, apakah kebaikan koperasi sekolah?

 

Pada pandangan saya, penubuhan koperasi sekolah dapat membantu pelajar untuk memahami aspek perniagaan dengan mendalam. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar-pelajar yang menyertai koperasi sekolah berpeluang menjalani aktiviti-aktiviti berkaitan dengan urusan perniagaan. Sebagai contoh, guru yang bertugas akan mendedahkan pelajar dengan urusan perniagaan seperti cara menetapkan harga barang, menulis rekod penjualan barang, cara-cara membuat penyata kewangan, dan juga memahami konsep perakauan. Koperasi sekolah juga melatih pelajar bersikap jujur dan amanah semasa menjalankan sesuatu pekerjaan. Sebenarnya, penglibatan pelajar dalam koperasi adalah merupakan proses pembelajaran di luar bilik darjah. Perkara yang dipelajari di dalam kelas seperti subjek prinsip akaun dan matematik dapat diaplikasikan ketika pelajar-pelajar mencari pengalaman berniaga di koperasi sekolah. Pengalaman tersebut dapat membantu pelajar-pelajar yang ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan sebagai kerjaya pada masa hadapan. Hal ini bertepatan dengan pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tegasnya, pelajar-pelajar akan mendapat pengalaman berniaga dengan menyertai koperasi sekolah.


            Selain itu, koperasi sekolah dapat menyediakan peralatan dan keperluan sekolah. Saya berpendapatan sedemikian kerana koperasi sekolah membekalkan peralatan seperti alat-alat tulis dan keperluan sekolah yang lain dapat diperoleh dengan mudah. Barangan yang ada di koperasi sekolah dijual dengan harga yang lebih murah berbanding dengan kedai alat tulis di pasaran. Sebagai tamsilan, alat tulis seperti pen , pensel, buku latihan, dan sebagainya lazimnya ditawarkan sepuluh peratus lebih murah daripada kedai alat tulis yang terdapat di luar kawasan sekolah. Secara logiknya, pelajar-pelajar hanya membuang masa sahaja jika mereka pergi ke pasar raya semata-mata kerana hendak membeli sebatang pen. Dengan adanya koperasi sekolah, pelajar-pelajar dapat memperoleh barangan keperluan sekolah dengan mudah. Secara tidak langsung, pelajar-pelajar tidak akan mensia-siakan masa dan tidak akan membazir wang. Pelajar-pelajar boleh memanfaat masa yang dijimatkan dengan aktiviti berfaedah seperti membaca dan beriadah. Wang yang dijimatkan boleh digunakan untuk membeli buku rujukan. Jelaslah, koperasi sekolah bukan sahaja memudahkan pelajar-pelajar membeli peralatan sekolah , malah dapat menjimatkan masa dan wang.

 

            Di samping itu, penubuhan koperasi juga memberi faedah dengan menambah kewangan sekolah. Hal ini bermaksud, koperasi sekolah yang beroperasi dengan baik dapat menjana keuntungan yang dijangkakan. Lazimnya, keuntungan diperoleh pihak koperasi berpunca daripada pembelian murid-murid, guru-guru dan warga sekolah. Oleh yang demikian, sebahagian keuntungan akan diberi kepada pihak sekolah untuk mengukuhkan keduddukan kewangan pihak sekolah. Keuntungan koperasi sekolah dapat dimanfaatkan dengan membina kemudahan-kemudahan asas di dalam kawasan sekolah. Misalnya, keuntungan koperasi sekolah boleh digunakan untuk membina laluan berbumbung, membina pondok-pondok bacaan, dan menceriakan kawasan sekolah dengan menaja beberapa taman mini. Di samping itu, ada juga koperasi sekolah juga memberi sumbangan yang ikhlas kepada pihak sekolah. Contoh yang boleh diketengahkan ialah kemudahan pendingin hawa di dalam surau Aisyah Umairah Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) merupakan sumbangan ikhlas daripada koperasi sekolah tersebut. Saya optimis, dengan adanya koperasi, keuntungan yang didapati dapat memanfaatkan pihak sekolah.

 

            Bukan itu sahaja, aktiviti koperasi sekolah juga dapat memupuk nilai murni dalam sanubari diri pelajar. Hal ini memang benar kerana sistem pelaburan yang diperkenalkan oleh koperasi sekolah dapat mendidik pelajar menabung. Pelajar-pelajar yang menyertai koperasi sekolah digalakkan berjimat cermat. Wang yang dijimatkan boleh digunakan untuk melabur. Walaupun pelajar menabung dalam jumlah yang sedikit tetapi akan menjadi banyak akhimya seperti kata pepatah sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Amalan menabung ini amat penting disemai dalam kalangan pelajar demi menjamin masa hadapan mereka. Dengan cara inilah, pelajar-pelajar berpeluang menjadi pemegang saham koperasi sekolah. Apa yang pasti, keuntungan koperasi sekolah akan dipulangkan dalam bentuk dividen dan bonus kepada pelajar yang membuat pelaburan. Sebagai contoh, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam telah berjaya membayar dividen tahun 2012 kepada ahli-ahlinya. Dividen yang diperoleh oleh pelajar boleh disimpan dalam bank untuk kegunaan masa hadapan. Bagaikan sudah terang lagi bersuluh, koperasi sekolah dapat memupuk nilai murni dalam diri pelajar.

 

            Konklusinya, aktiviti koperasi sekolah memang banyak membawa manfaat kepada pelajar. Semua warga sekolah perlulah bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kebaikan yang diperoleh akan berterusan. Sekiranya semua pihak bekerjasama, nescaya impak positif penubuhan koperasi akan berkekalan dalam jangka masa yang lama. Ibu bapa seharusnya memberi galakan agar anak mereka menyertai aktiviti murni sebegini terutama ketika muda kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Negara amat memerlukan ahli perniagaan yang mahir dalam menguruskan urusan perniagaan pada masa depan. Usaha  yang sistematik  dan  proaktif  untuk menambah baik status koperasai mestilah  digerakkan  mulai  dari  sekarang  kerana  perjalanan  yang  beribu  batu, mestilah bermula dengan langkah yang pertama!

SUMBER:

Disesuaikan - http://sharedle.blogspot.com/2018/11/kebaikan-koperasi-sekolah.html

 

10.  

 ALAM SEKITAR DAN TEKNOLOGI HIJAU

11.  

 DUNIA SELAMAT MILIK KITA

12.  

 KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN ESTETIKA

13.  

 JATI DIRI, WARGANEGARA PATRIOTIK

 

SOALAN:

Pelbagai usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita telah dilakukan oleh banyak pihak tanpa jemu namun semangat cinta akan Negara semakin hari semakin luntur.

 Huraikan usaha-usaha yang lebih berkesan untuk menanganinya.

 JAWAPAN:

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

          Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.

Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.

Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.

Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.

SUMBER:

Disesuaikan - http://anelyza.blogspot.com/2009/09/usaha-usaha-untuk-meningkatkan-semangat.html

14.  

 CITRA BAHASA DAN SASTERA KITA

15.  

 

INDUSTRI CEMERLANG, NEGARA GEMILANG

 

SOALAN:

Industri kecil dan sederhana (IKS) merupakan sokongan kepada kegiatan ekonomi Negara yang lebih besar. Ia turut melibatkan jumlah tenaga kerja yang ramai.

 Huraikan kepentingan IKS kepada ekonomi Negara.

 JAWAPAN:

            Mutakhir ini, arus globalisasi yang menerjah dunia telah memberi impak dan perubahan yang besar kepada negara sama ada dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dalam menongkah dan mengejar arus modenisasi ini, kerajaan kita telah menggagaskan konsep 1 Malaysia yang berpaksikan slogan  “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Hal ini juga merupakan rentetan kepada Dasar Ekonomi Baru supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati kemakmuran negara secara adil dan saksama. Menyedari hakikat inilah kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi memajukan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Hal ini bertepatan dengan peribahasa Melayu hati kuman sama di cecah, hati gajah sama dilapah. IKS  telah dibangunkan dengan pesatnya umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Contoh Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ialah kilang kraf tangan, kilang keropok, perusahaan batik, kilang mi dan lain-lain lagi. Terdapat banyak kepentingan IKS kepada masyarakat dan negara.

            Salah satu kepentingan IKS ialah dapat meningkatkan ekonomi masyarakat terutamanya penduduk di luar bandar.  Kita sedia maklum bahawa industri ini banyak didirikan di kawasan luar bandar selaras dengan konsep ‘Satu Kampung Satu Produk’.  Sebagai contoh  kilang membuat kerepek, kilang membuat sos tomato, kilang kraf tangan  dan lain-lain lagi.  Pengusaha kilang dapat menjual hasil keluaran mereka kepada penduduk-penduduk kampung serta pengunjung-pengunjung yang lain. Selain itu, mereka juga boleh memasarkan hasil IKS ini di pasar malam, pasar tani serta di karnival-karnival jualan. Meskipun keuntungan penjualannya tidaklah seberapa, namun sikap gigih dan istiqamah pengusaha IKS menyebabkan produk mereka akhirnya mendapat perhatian para pengguna. Dalam usaha untuk mempromosi produk IKS ini, peribahasa yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek haruslah dijadikan pegangan. Prinsip membujur lalu, melintang patah iaitu berani menghadapi cabaran dan dugaan dalam perniagaan merupakan resipi kejayaan ramai pengusaha IKS pada hari ini.  Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa IKS ini sangat penting untuk meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara.

            Selain itu, IKS juga dapat membuka dan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat terutamanya penduduk kampung. Kita sedia maklum bahawa untuk menjana dan meningkatkan hasil pengeluarannya pengusaha IKS ini memerlukan pekerja yang ramai. Sebagai contoh, kilang membuat kerepek memerlukan pekerja untuk menyediakan bahan, memasak, membungkus serta memasarkan produk mereka. Sekurang-kurangnya kilang IKS tersebut memerlukan antara 15 hingga 20 orang pekerja untuk menjalankan operasinya. Dalam usaha untuk meminimumkan kos serta meningkatkan produktiviti, sudah tentu pengusaha IKS akan memilih para pekerja dalam kalangan masyarakat setempat . Hal ini telah akan membuka peluang kepada suri rumah, ibu tunggal atau orang kurang upaya (OKU) untuk bekerja di situ. Sikap pengusaha IKS yang prihatin serta mengutamakan khidmat sosial kepada masyarakat setempat, akan mewujudkan perasaan kekitaan terhadap IKS yang diwujudkan di sesuatu kawasan itu. Peribahasa Melayu ada mengatakan orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa, ironinya, para pekerja tersebut akan berusaha dengan gigih untuk meningkatkan mutu serta kualiti produk kilang tersebut. Jelaslah bahawa IKS ini bukan sahaja dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk kampung malah dapat membantu negara mengurangkan masalah pengangguran.

             Di samping itu, pembinaan IKS di kawasan-kawasan luar bandar juga dapat membantu meningkatkan sektor pertanian dan perikanan. Kita sedia maklum bahawa IKS memerlukan bahan-bahan mentah untuk proses pengeluaran kilang mereka. Biasanya bahan-bahan mentah ini adalah daripada hasil  pertanian, perikanan atau perhutanan. Tamsilnya kilang membuat keropok memerlukan hasil tangkapan laut, manakala kilang kerepek pula memerlukan hasil pertanian seperti ubi, keladi, pisang, jagung dan lain-lain. Secara tidak langsung aktiviti pertanian dan  perikanan turut meningkat di kawasan tersebut. Hasil pertanian sara diri penduduk kampung yang selama ini sukar untuk dipasarkan, kini telah menjadi rebutan para pengusaha IKS. Hukum ekonomi menjelaskan bahawa kadar permintaan mempengaruhi penawaran dan harga barangan. Implikasinya harga barang mentah pertanian seperti ubi, pisang, keledek, keladi akan meningkat. Secara   tidak langsung sektor pertanian akan meningkat. Hal ini, diperkukuhkan lagi dengan dasar kerajaan yang memberi perhatian serius untuk membantu meningkatkan pendapatan petani dan nelayan. Oleh hal yang demikian, dalam usaha memenuhi permintaan IKS terhadap bahan mentah yang semakin  meningkat kerajaan melalui agensi-agensi pertanian seperti FAMA, MARDI, PELADANG dan sebagainya telah memberi khidmat kepakaran dan subsidi kewangan kepada para petani dan nelayan. Tuntasnya, IKS ini merupakan serampang dua mata kerana  kewujudannya bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi malahan dapat membasmi kadar kemiskinan  rakyat di negara kita yang tercinta ini.

            Ada pendapat yang mengatakan bahawa melancong ke Malaysia umpama telah melancong ke separuh dunia. Hal ini kerana, di Malaysia terdapat pelbagai kesenian dan budaya daripada penduduk pelbagai bangsa dan agama. Apakah kaitan penyataan ini dengan IKS? Kolerasinya ialah kewujudan IKS dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Kita sedia maklum bahawa para pelancong suka membeli  kraftangan untuk dibawa pulang. Sebenarnya di Malaysia terdapat banyak barangan kraftangan daripada pelbagai etnik dan kaum yang menjadi warganegara Malaysia. Sebagai contoh perusahaan membuat tembikar, pasu bunga, ukiran, labu sayong, batik, songket, tikar, bakul barangan hutan dan lain-lain lagi. Hasil kraf tangan melambangkan identiti serta jati diri negara. Para pelancong membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk  membeli kraftangan ini sebagai cenderamata kenang-kenangan atau hadiah  kepada rakan-rakan apabila pulang kelak. Dalam hal ini peribahasa Melayu ada menyebut bahawa “tak tumbuh, tak melata, tak sungguh orang tak kata”. Hal ini menjelaskan bahawa kualiti serta keunikan kraftangan Malaysia  akan menarik lebih ramai pelancong ke negara kita. Ironinya perkara ini bukan sahaja akan meningkatkan imej Malaysia sebagai negara berbilang bangsa malahan dapat meningkatkan ekonomi negara menerusi sektor pelancongan.

            Konklusinya,  terdapat banyak kemaslahatan Indutri Kecil dan Sederhana (IKS) kepada masyarakat dan negara kita. Sebagai rakyat Malaysia kita tidak seharusnya membiarkan peluang ini berlalu begitu sahaja. Kita perlu gigih meningkatkan kualiti IKS kerana industri ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada barangan keluaran tempatan yang berperanan meningkatkan imej negara di mata dunia. Apabila masyarakat sama ada di dalam atau di luar negara menggunakan sahaja barangan IKS, maka secara tidak langsung jati diri negara telah terserlah.  Oleh hal yang demikian, semua pihak iaitu pihak kerajaan, swasta, masyarakat serta individu perlulah bekerjasama untuk meningkatkan industri ini. Dana yang besar telah diperuntukkan oleh kerajaan perlu digunakan sebaik-baiknya bagi tujuan memajukan IKS.  Diharapkan barangan keluaran IKS mampu bersaing dalam pasaran  di peringkat tempatan dan juga persada antarabangsa. Hal ini juga selaras dengan gagasan 1 Malaysia iaitu, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan.

 SUMBER:

Disesuaikan. http://karanganbahasamelayuspm.blogspot.com/2013/01/kepentingan-industri-kecil-dan.html

 

16.  

 

 INTEGRITI

 

SOALAN:

Integriti merupakan unsur penting yang perlu wujud dalam diri sesorang pekerja dan organisasi. Jatuh bangun sesebuah oranisasi terletak sejauh mana ia diurus dengan cekap tanpa unsur negatif seperti rasuah, pecah amanah atau pilih kasih.

 

Huraikan kepentingan integriti dalam kehidupan kita.

 

JAWAPAN:

 

       Saya percaya ramai antara kita yang baharu mendengar perkataan integriti yang dalam bahasa Inggeris disebut integrity. Sebenarnya perkataan integriti sudah lama wujud dalam Kamus Dewan, cuma dari sudut pemakaian perkataan tersebut dalam percakapan seharian amat jarang sekali kita gunakan. Kalau kita dengar pun perkataan itu sama ada dalam media atau ucapan tokoh-tokoh tertentu, kita mengambil sikap pura-pura tahu, walaupun sebenarnya kita tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan integriti itu. Mungkin juga sebahagian kita lebih merujuk kepada pemahaman yang bermaksud 'berkaitan rasuah".

 

      Dalam Kamus Dewan, integriti bermaksud "kejujuran, keutuhan, keadaan sempurna dan utuh". Menurut kamus Oxford Dictionary, Integrity ialah wholeness, soundness, uprightness, honesty. Jadi, integriti bukanlah semata-mata rasuah, tetapi juga berkait rapat dengan keseluruhan sifat kejujuran dan ketelusan. Dalam sebuah terbitan bertajuk "Dari Akar Hingga Buahnya" terbitan Institut Integriti Malaysia (IIM) mengambarkan "Integriti bagaikan pokok yang berdiri teguh di hutan. Akarnya dalam, menunjangi yakni menyokong batang yang besar lagi tinggi yang mempunyai rimbunan dedaun menghijau sebagai mahkotanya....". Sesiapa yang memiliki integriti akan berdiri teguh yang tidak akan mudah goyah dan terpujuk kepada kebendaan umpama pokok tersebut yang sifatnya kuat dan tidak mudah digugat. 

 

     Oleh itu, bila kita membicarakan tentang integriti, maka perlu kita merujuknya sama ada individu itu sendiri atau individu sebagai penjawat awam dan sesebuah organisasi atau pertubuhan. Ini kerana setiapnya mempunyai tindakan sehari-hari yang bertaut rapat dengan etika. Dalam individu, integriti bolehlah dilihat sebagai 'cakap serupa bikin". Apa yang seseorang itu katakan haruslah selari dengan tindakan dan yang dikotakannya. Tindakannya pula bermoral, mengikut peraturan sedia ada dan beretika yang konsisten dalam apa juga perkara yang selari antara kepentingan diri dengan kepentingan orang ramai. Tetapi jika berlaku pula "cakap tak serupa bikin" individu tersebut bolehlah dianggap dan dikatakan tidak berintegriti.

 

     Sementara jika kita melihat individu sebagai kakitangan awam atau penjawat awam, sudah tentulah kita melihatnya integriti sebagai mereka yang telah diberi tanggungjawab dan amanah yang pelaksanaannya harus dipertanggungjawabkan untuk kepentingan umum. Di bahu mereka ada amanah, jadi integriti dalam konteks penjawat awam merujuk kepada melaksanakan anamah dan kuasa yang ada untuk kepentingan umum bukannya untuk kepentingan diri sendiri, rakan taulan, saudara mara atau kroni atau kerana ada kepentingan lain, kata orang "ada udang di sebalik mee". Seseorang penjawat itu harus mempunyai dan menunaikan setelus dan setulus sama ada untuk masyarakat, bawahannya malah kepada ketuanya. Aspek ini harus diutamakan. penjawat awam tidak boleh membiarkan amanah dan kuasa yang dimilikinya diatur dan dikuasai oleh pihak lain.

 

     Sesebuah organisasi juga perlu ada integriti. Untuk melihat organisasi yang berintegriti, bolehlah kita melihat dalam aspek pelaksanaan kod etika, wujud piagam pelanggan, memiliki proses kerja yang teratur dan pematuhan kepada amalan terbaik. Semua aspek ini harus dihayati, diamalkan oleh kakitangannya sebagai satu kebiasaan yang membudaya dalam organisasi berkenaan dan bukan sebaliknya aspek tersebut hanyalah sebagai hiasan dinding dan hanya untuk dibaca atau diceritakan kepada pihak lain, tetapi pengamalan dalaman sendiri tidak berlaku.

     Berdasarkan itu integriti akan terpancar sekiranya nilai-nilai elok sebagai jati diri dalam keluarga, masyarakat keseluruhannya seperti ketelusan, beramanah, keikhlasan dalam bekerja, tidak menipu, dipercayai, menepati masa dan memiliki sikap keterbukaan bila dikritik dan ini menjadi amalan serta tauladan dan secara bersama kita lakukannya serta ditunjangi dengan akar sistem yang cekap dan berkualiti sudah tentunya kita dianggap berintegriti. Sebaliknya jika lemah dan hilang integriti dalam pola kehidupan seharian sudah tentu mereka yang memiliki kuasa akan menggunakan kuasanya untuk kepentingan diri, tidak bertanggungjawab dan tidak produktif yang akhirnya mewujudkan satu sistem pengurusan dan perkhidmatan yang lemah dan terbengkalai. Ini akan menjadi bertambah parah apabila semua kita tidak mengambil berat dan tidak sensitif dengan apa yang berlaku.

SUMBER:

Disesuaikan. http://bersamacikgubung.blogspot.com/2011/06/integriti.html

   
 
 
  • Sila laporkan kepada Webmaster jika terdapat pautan yang rosak.

  • Gunakan e-mel yang betul untuk memudahkan interaksi.

  • Guru-guru BM atau para pelajar dialu-alukan untuk menyumbang bahan P & P sama ada nota, panduan atau soalan bagi dimuatkan ke dalam sub-sublaman yang disediakan. Sumbangan boleh dibuat dalam bentuk fail html, doc atau bahan sumber yang telah diimbas menggunakan format jpeg.

Paparan terbaik 800x600 ke atas

 

© BMSPM 1998-2021. Hak Cipta Terpelihara. Pemberitahuan.