Contoh karangan B: Tema Patriotisme |
Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di
negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak
pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk
dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan
perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam
hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan
hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata.
Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan
tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya
anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia
ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi,
kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat
dapat ditingkatkan.
Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk
meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di
negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan
memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik
dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan
semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata
peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari
rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat
dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan
terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula,
amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang
sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara
yang akan memburukkan nama negara.
Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat
pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat
patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi
pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan,
murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik
kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu.
Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal
di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan
dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat
patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid
hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan
mereka di institusi pengajian tinggi.
Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen
secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen
yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan
kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu,
Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik
seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan
dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan
rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat
patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang
kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga
hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan
drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.
Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah
menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan
usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut
boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan
perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan
pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan.
Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga
perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan
menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga
tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu
masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk
semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara
kaum di negara kita.
Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan
teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin
masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman
politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi
pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang
tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan
menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai
hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan
yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini
penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah
dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya
perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti
kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak
tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.
Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat
patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal
ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk
melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan
menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya
sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi
juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya
agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding
dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik
tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak
ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang
jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan
memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat
dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat
|
Sumber: http://anelyza.blogspot.com/2009/09/usaha-usaha-untuk-meningkatkan-semangat.html |