KERTAS KERJA

Oleh

Mohd. Zaki bin Awang Mat

M.Sc., B.Ed. PBMP (Hons) (UPM), SPK (IBKL), SPA (MPSI)

 

Webmaster Laman Web e-Pembelajaran sejak 1998

 

 
TAJUK:
PENILAIAN DAN PEMILIHAN SUMBER MAKLUMAT 
DI INTERNET*

 

Kandungan

  1. Pengenalan

  2. Internet dan Kandungannya

  3. Faktor -Faktor Yang Menyebabkan Perlunya Pemilihan dan Penilaian

  4. Aspek-Aspek Penilaian dan Pemilihan

  5. Langkah dan Cara Menilai serta Memilih Bahan sumber Internet

  6. Kesimpulan

  7. Bibliografi


Pengenalan

        Penggunaan internet sudah menjadi lumrah pada masa kini kepada kehidupan guru-guru di seluruh dunia khususnya di negara-negara maju. Ia telah digunakan untuk pelbagai tujuan yang berkaitan dengan pendidikan seperti berkomunikasi, mencari maklumat, malah digunakan sebagai bahan sumber dalam talian untuk pengajaran dan pembelajaran secara langsung di sekolah atau institusi pengajian tinggi. 
 
        Pengenalan internet terutamanya World Wide Web (WWW) atau panggilan ringkasnya, Web kepada umum telah menjadi inovasi teknologi yang paling cepat berkembang di dunia. Perkembangan internet sebenarnya terlalu pesat berbanding dengan beberapa alatan moden yang diperkenalkan sebelum ini. Morgan Stanley Research Group (1999) dalam kajian perbandingan perkembangan dengan peralatan teknologi lain mendapati, internet hanya mengambil masa 7 tahun untuk digunakan oleh 30 peratus rakyat Amerika Syarikat berbanding komputer (13 tahun), televisyen (17 tahun dan telefon (38 tahun).
 
        Dengan jumlah pengguna di seluruh dunia pada September 2000 seramai 377.65 juta (Nua Internet Surveys, 2000), internet mampu membawa kesan yang amat besar kepada kehidupan manusia.  Dalam bidang pendidikan, Owston (1997) menjelaskan,  Web telah menyebabkan para pendidik dari prasekolah hingga ke pengajian siswazah terpaksa memikir semula asas pengajaran, pembelajaran dan konsep persekolahan. Internet dan Web telah membuka ruang untuk pembelajaran tanpa batas fizikal dan waktu.
 
        Dengan keadaan itu, peranan guru sudah berubah. Guru tidak lagi harus melihat peranannya sebagai pendidik dalam bilik darjah semata-mata tetapi lebih luas daripada itu, mencakupi kemungkinan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran secara jarak jauh. Dengan ciri-ciri Web  yang bersifat multimedia interaktif,  ia berkebolehan mewujudkan kerjasama, tanpa berpihak atau pilih kasih malah bersifat telus terhadap pelbagai jenis maklumat, tanpa batasan geografi dan waktu.  
 
        Walaupun begitu, Landsberger (2000) menyatakan internet ialah sesuatu yang tidak berperaturan dan tidak boleh pula dikenakan peraturan. Beliau berkata begitu kerana berlaku lambakan maklumat yang tidak mampu dikawal kualitinya. Oleh sebab itu, dari sudut  pendidikan wujud pula kebimbangan bahawa bahan sumber dalam internet tidak dapat digunakan sepenuhnya untuk tujuan pendidikan terutama pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kebimbangan itu kerana terdapat pelbagai jenis maklumat dalam internet, baik yang berunsur pendidikan hinggalah kepada jenis yang sama sekali tidak sesuai digunakan dalam pendidikan. Laman-laman web lucah misalnya, begitu banyak dalam internet dan berjaya menarik minat yang bukan sedikit kepada para pengguna internet, termasuk para pelajar sekolah.
 
        Oleh itu wujud keperluan internet dikawal manakala bahan-bahan sumber yang terdapat di dalamnya perlu dinilai sebelum dipilih untuk dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran. Walaupun terdapat beberapa negara yang telah bertindak menapis penggunaan internet seperti di Rusia, Myanmar dan China (Sherman, 2000) tetapi negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, yang mana 60 peratus komputer pelayan dan hos WWW terletak di negara itu (USIC, 1999), tidak mengambil tindakan menapis. Kerajaan Malaysia (Gimon, 2000) sendiri menjamin tidak akan secara aktif menapis penggunaan internet malah internet telah pula menjadi media yang begitu bebas untuk mengemukakan pendapat berbanding media cetak.
 
        Walaupun begitu, dari aspek pendidikan, sebelum guru-guru menggunakan bahan-bahan sumber dari internet, sama ada untuk pengajaran dan pembelajaran secara langsung di bilik darjah atau sekadar sebagai bahan bantu mengajar yang telah terlebih dahulu dimuat turun, proses penilaian dan pemilihan perlu dilakukan. Hal ini perlu dilakukan supaya bahan sumber yang digunakan itu benar-benar membantu proses pengajaran dan pembelajaran, bukannya menimbulkan kesan negatif yang tidak dikehendaki atau djangka.

Kandungan


Internet dan Kandungannya

           Istilah Internet kali pertama digunakan pada tahun 1982, walaupun Vinton Cerf, yang dianggap Bapa Internet telah menubuhkan The InterNetworking Working Group (INWG) sejak 1972 lagi dan ARPANET yang menjadi asas internet telah wujud sejak tahun 1969 lagi (http://www.pbs.org/internet/timline/timeline-txt.html).  Internet ialah akronim daripada frasa interconnecting networks yang bermaksud komunikasi antara rangkaian, iaitu rangkaian komputer yang terbesar di dunia. Pada tahun 1995, ahli-ahli Majlis Rangkaian Persekutuan (FNC) Amerika Syarikat, setelah merujuk pakar-pakar internet telah bersetuju sebulat suara memberikan definisi internet sebagai:

  1. Sesuatu yang dihubungkan secara lojik di seluruh dunia menerusi Protokol Internet (IP) dan sambungan-sambungan yang mengikutinya.

  2. Berkeupayaan menyokong komunikasi menggunakan Protokol Kawalan Penghantaran (TCP/IP) dan/atau IP yang bersesuaian dengannya, dan

  3. Menyedia, mengguna dan membolehkan secara umum atau peribadi, perkhidmatan komunikasi peringkat tinggi menggunakan infrastruktur yang dinyatakan

        Secara lebih umum, internet ialah penyedia kemudahan untuk bertukar maklumat dalam format boleh-guna semula dan boleh-baca, misalnya carta, gambar rajah, jadual, pangkalan data atau kod perisian. Ia merupakan pusat segala sumber maklumat seperti katalog, pangkalan data, penyedia perkhidmatan, penerbitan dan sebagainya yang disediakan secara maya. Antara perkhidmatan internet meliputi e-mel, WWW, FTP, Newsgroup, Telnet dan IRC.

        Walau bagaimanapun, internet menjadi terkenal setelah World Wide Web (WWW) diperkenalkan pada tahun 1991. WWW menggabungkan semua perkhidmatan internet menggunakan browser seperti Netscape, Internet Explorer dan sebagainya. Antara perkhidmatan yang disediakan menerusi internet ialah mel elektronik (e-mel), pangkalan data WWW, kumpulan berita dan diskusi internet, pemindahan fail menggunakan FTP, Telnet dan sebagainya.

          Kajian-kajian tentang jumlah pengguna internet yang dikumpulkan oleh Nua Internet Surveys (2000) mendapati jumlah pengguna internet di seluruh dunia pada September 2000 ialah 377.65 juta berbanding 248.6 juta pada bulan Januari 2000, satu peningkatan yang ketara walaupun hanya dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2000. Jumlah pengguna terbesar mengikut kawasan pula ialah Kanada dan Amerika Syarikat, 161.31 juta orang. Di Asia Pasifik pula terdapat 89.68 juta manakala jumlah pengguna terendah ialah di Timur Tengah, iaitu hanya 2.40 juta.

         Sementara itu, sebuah pertubuhan sukarela, Internet Society (2000) pula menganggarkan akan terdapat lebih 300 juta pengguna internet di seluruh dunia pada akhir tahun 2000, iaitu meliputi lima peratus jumlah penduduk dunia. Walaupun daripada peratusannya, ia kelihatan masih kecil tetapi peningkatan yang berganda sejak 11 tahun lalu, memungkinkan peningkatan jumlah pengguna yang lebih besar pada masa hadapan.

          Kadar akses dan penggunaan internet di sekolah di seluruh dunia juga dilaporkan meningkat di seluruh dunia. Di United Kingdom, CyberAtlas (2000)  melaporkan kadar penggunaan internet di sekolah  sudah mencapai 43 peratus dengan nisbah komputer dan pelajar di sekolah menengah ialah 8.7:1. 92 peratus daripada sekolah yang dikaji pula sudah menyusun pelbagai program untuk melatih guru sesuai dengan hasrat kerajaan British yang mahu melengkapkan semua sekolah dengan internet pada tahun 2002.

          Dari segi jenis bahasa yang digunakan dalam internet, terdapat sejumlah 86.55 peratus bahan dalam internet yang disediakan dalam bahasa Inggeris berbanding hanya 2.36 peratus dalam bahasa Perancis dan 0.54 peratus dalam bahasa Belanda (Inktomi, 2000). Bahan-bahan sumber internet dalam bahasa Melayu pula masih kecil jumlahnya. Menurut MIMOS Berhad (Utusan Malayisa, 23 Januari 2000), pemantauan terhadap laluan trafik internet di Malaysia menunjukkan 75 peratus bahan sumber internet yang diakses oleh pengguna Malaysia diambil dari luar negeri berbanding hanya 25 peratus bahan diambil oleh pengguna negara luar dari negara ini. Ini menggambarkan dengan jelas bahawa jumlah bahan sumber internet yang dihasilkan dalam negeri juga masih kecil berbanding dengan sumber luar negeri yang tentunya dalam bahasa lain selain bahasa Melayu. Hal ini bukanlah menghairankan kerana majoriti komputer pelayan dan hos WWW terletak di luar negeri  dengan 60 peratus daripada hos itu terletak Amerika Syarikat (USIC, 1999).

        Dari segi jenis kandungan, Internet mempunyai kepelbagaian yang tidak terbatas. Harris (1997) mengkategorikan jenis kandungan internet kepada lima, iaitu:
a.       Fakta
b.      Pendapat
c.       Cerita
d.      Tafsiran, dan
e.       Perangkaan.
        Menurut Harris, semua maklumat itu terdapat di mana-mana sahaja dalam internet serta dalam jumlah yang besar, yang sentiasa dicipta dan ditambah. Semua jenis kandungan internet itu pula disediakan dengan pelbagai tujuan seperti:
a.       Untuk pemberitahuan
b.      Pemujukan
c.       Penjualan
d.      Mengemukakan sesuatu pandangan, dan
e.       Mencipta atau menukar sikap serta kepercayaan.

        Landsberger (2000) pula menyenaraikan lapan jenis laman web mengikut tujuan-tujuan berikut:

  1. Laman web peribadi

  2. Promosi

  3. Berita semasa

  4. Maklumat mengikut topik

  5. Propaganda

  6. Pengajaran

  7. Pengumpulan data atau pendaftaran, dan

  8. Hiburan.

         Jika dilihat dari sudut pendidikan pula, Laman web ED’s Oasis (2000) menjelaskan bahawa jenis laman web boleh dikategorikan kepada tiga, iaitu:
a.       Bahan sumber
b.      Projek
c.       Sumber maklumat tambahan
         Bahan sumber dirujukkan kepada bahan dalam internet yang digunakan oleh pelajar untuk membuat sesuatu kajian manakala jenis projek merujuk kepada maklumat sesuatu aktiviti tertentu. Sumber maklumat tambahan pula ialah bahan-bahan sumber dalam internet yang tidak disediakan khusus untuk tujuan pendidikan tetapi boleh digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran dengan bantuan guru, setelah dinilai, dipilih dan disesuaikan.
 

Kandungan


Faktor-Faktor Yang Menyebabkan Perlunya Pemilihan dan Penilaian

 
            Memandangkan internet mempunyai kesan yang besar terhadap pengguna apatah lagi kepada pelajar, seseorang guru yang ingin menggunakan bahan-bahan dalam internet untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran perlu melakukan penilaian dan pemilihan terhadap bahan-bahan yang ingin digunakan malah langkah penyesuaian juga perlu jika sesuatu bahan sumber maklumat itu mengandungi gabungan unsur yang sesuai dan yang tidak sesuai.
 
        O’Neill (1999) menyenaraikan faktor berikut yang menyebabkan penilaian dan pemilihan bahan sumber dalam internet perlu dilakukan. Faktor-faktor itu ialah:
 
a.      Jumlah bahan sumber yang terlalu banyak
        Satu kajian yang diumumkan oleh Inktomi Corp. dan NEC Research Institute Inc. (2000) mendapati jumlah maklumat yang terdapat di WWW sehingga Januari 2000 sudah melebihi satu bilion halaman meliputi pelbagai format multimedia.
 
        Peningkatan jumlah WWW begitu mendadak sekali kerana pada Januari 2000, terdapat hanya 9,950,491 komputer pelayan yang menjadi hos kepada WWW tetapi jumlah itu meningkat kepada 22,282,727 pada kajian bulan Oktober 2000 (Zakon, 2000). Jumlah hos WWW dan maklumat yang  begitu besar boleh dicapai oleh pengguna-pengguna internet menerusi pelbagai enjin pencari yang tersedia di internet seperti Netscape Search, Yahoo, Inktomi, AltaVista dan sebagainya.
 
        Jumlah  bahan sumber yang begitu banyak dan pelbagai memerlukan seseorang guru memilih mana-mana bahan sumber yang sesuai dengan mata pelajaran yang diajar, aspek kurikulum dalam mata pelajaran berkenaan, tajuk dan objektif pengajaran serta kesesuaian bahan sumber itu dengan  tahap pelajar dan tempoh sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran itu.
 
b.      Kebebasan menerbitkan bahan sumber di internet
Internet mempunyai ciri yang luar biasa kerana sama ada individu, pertubuhan, syarikat, institusi pengajian tinggi atau sesiapa sahaja boleh menerbitkan apa sahaja bahan sumber mereka dalam internet pada bila-bila masa.
 
        Walaupun kos komputer pelayan mahal tetapi dengan adanya  komputer pelayan yang menyediakan kemudahan percuma untuk menempatkan laman web seperti http://www.geocities.com, http://www.tripod.com  dan sebagainya, menjadikan proses menerbitkan sesuatu bahan sumber dalam internet mudah malah percuma. Dengan itu lambakan bahan sumber yang positif dan negatif berlaku dengan cepat tanpa boleh dikawal.
 
c.       Tidak memerlukan pengesahan
        Salah satu masalah besar yang dihadapi oleh pencari maklumat dalam internet ialah bahan-bahan sumber itu telah diterbitkan tanpa perlu melalui proses penyemakan dan pengesahan pihak lain. Berbeza dengan bahan sumber bercetak di dalam buku, jurnal, akhbar dan sebagainya yang memerlukan setiap bahan yang ditulis, disunting malah ditapis sebelum diterbitkan, bahan-bahan sumber dalam internet boleh diterbitkan terus oleh penulis sendiri tanpa penerbit.
 
        Ketiadaan pengesahan dan melalui proses konvensional ini memungkinkan bahan sumber itu tidak tepat, menyeleweng, tidak boleh dipercayai malah mungkin sama sekali salah, yang sekaligus menjejaskan mana-mana penulisan atau pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan bahan-bahan sumber berkenaan.

 Kandungan


Aspek-Aspek Penilaian dan Pemilihan

 
        Banyak pendapat telah dikemukakan tentang aspek-aspek yang perlu diambil kira semasa menilai sumber maklumat dalam internet. Salah satu senarai aspek penilaian itu ialah Senarai Semak CARS. Harris (1997) menghuraikan CARS sebagai:
  1. Kewibawaan (Credibility)
  2. Ketepatan (Accuracy)
  3. Kewajaran (Reasonableness), dan
  4. Sokongan (Support).
 
        Kewibawaan sesuatu sumber dalam laman web itu dapat dinilai menerusi kewibawaan penulis atau pengendali laman web berkenaan. Individu atau institusi pengendali laman web yang mempunyai rekod yang baik akan meningkatkan tahap kewibawaan maklumat dalam laman web berkennaan. Contohnya laman web yang baik memperlihatkan kawalan mutu bahan sumber yang tinggi seperti ditulis atau diedit oleh sekumpulan editor yang berwibawa, bahan rujukan yang digunakan dari sumber yang jelas dan tepat serta boleh dirujuk semula dengan mudah oleh pengguna internet. Jika nama penulis tidak dinyatakan, terdapat kesalahan tatabahasa yang ketara dan ketiadaan kawalan mutu, bahan sumber yang dinilai itu tidak sesuai digunakan untuk tujuan pendidikan kerana kewibawaannya boleh diragui.
 
        Aspek ketepatan merujuk kepada tarikh, fakta dan maklumat yang mengiringi sesuatu bahan sumber itu sama ada telah ditulis dengan betul atau tidak. Sesuatu bahan sejarah misalnya, harus ditulis mengikut kronologi supaya tidak mengelirukan pengguna internet. Tujuan sesuatu laman web itu diwujudkan juga harus jelas, bukan terlalu umum sehingga tidak dapat dipastikan kumpulan pengguna internet yang manakah yang menjadi kumpulan sasar atau disiplin ilmu sebenar bahan itu.
 
        Kewajaran pula merujuk kepada sama ada ia menggambarkan keadilan, pernyataan pendapat yang seimbang, sederhana serta ketekalan maklumat yang dipaparkan. Jika terdapat sumber maklumat internet yang mempunyai kecenderungan yang keterlaluan terhadap sesuatu pihak atau perkara, pendidik harus mengelakkan bahan berkenaan daripada digunakan untuk pendidikan.
 
        Aspek sokongan merujuk kepada kejelasan sumber rujukan yang telah digunakan oleh penulis bahan sumber itu. Sekiranya ia melibatkan data statistik contohnya, data harus dijelaskan sumber dan kaedah pemerolehannya. Begitu juga jika sesuatu bahan itu daripada jenis rencana, ia harus mempunyai senarai bibliografi yang betul. Ketiadaan sumber sokongan kepada bahan yang dikemukakan dalam laman web akan menyebabkan data atau bahan tersebut tidak dapat digunakan sebagai bahan rujukan yang berwibawa.
 
        Selain daripada aspek CARS di atas, Perpustakaan McIntyre (2000) menggunakan aspek “Ten C’s” untuk menilai sumber maklumat dalam internet. Sepuluh aspek yang dinilai ialah:
a.       Kandungan
Aspek ini merujuk kepada persoalan tujuan sesuatu kandungan dalam bahan sumber itu dikemukakan, tarikh ia diterbitkan dan adakah ia versi yang terbaru atau sudah lama tidak dikemas kini.
 
b.      Kewibawaan
Ia melibatkan autoriti termasuk penulisnya yang boleh dikenal pasti dan boleh dipercayai.
 
c.       Pemikiran kritis
Aspek ini memerlukan penilai menggunakan pengetahuan dan pengalaman untuk menilai penulis, penerbit, edisi yang diterbitkan dan sebagainya.
 
d.      Hakcipta
Persoalan yang perlu diberi perhatian dalam aspek ini ialah penggunaan dokumen, grafik, bunyi atau imej dalam laman web itu hendaklah memaparkan nama pemilik hakciptanya dengan jelas.
 
e.       Penghargaan
Penilai harus meneliti sama ada penghargaan yang sewajarnya telah diberi kepada pemilik hakcipta asal dokumen atau sumber petikan yang telah digunakan dalam dokumen berkenaan.
 
f.        Kesinambungan
Penilai harus melihat sama ada bahan sumber seperti laman web itu diselenggara dengan baik termasuk mengemaskini mengikut masa dengan maklumat tambahan yang lebih terkini.
 
g.      Penapisan
Aspek penapisan merujuk kepada sama ada sumber itu telah ditapis kandungannya ataupun dilarang kepada pengguna tertentu.
 
h.      Kebolehsambungan
Aspek ini pula merujuk kepada keadaan teknikal sama ada bahan yang diakses itu memerlukan perisian sokongan untuk melihat teks, imej dan sebagainya.
 
i.        Kebolehbandingan
Ia bermaksud bahan sumber yang terdapat dalam internet itu boleh dibandingkan dengan bahan-bahan lain dalam bentuk cetakan atau CD-ROM ataupun perbandingan antara versi terbaru dengan versi  yang terdahulu.
 
j.        Konteks
Penilai juga harus menilai bahan sumber internet mengikut konteks pencarian bahan dan tujuan bahan tersebut bakal digunakan. Adakah bahan itu  merupakan konsep, sejarah ataupun statistik dan sebagainya, yang menepati konteks penggunaannya apabila digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.
 
        Selain daripada dua senarai aspek penilaian di atas, terdapat beberapa senarai lain seperti senarai semak yang disediakan oleh Tate (2000). Tate mengemukakan lima kriteria penilaian, iaitu Ketepatan, Objektiviti, Terkini dan Liputan. Unsur-unsur penilaian itu lebih kurang sama dengan dua senarai aspek di atas kecuali kriteria kelima, Liputan. Kriteria ini dimaksudkan kepada persoalan sama ada bahan sumber dalam internet itu sudah lengkap atau sebahagiannya masih dalam pembinaan menyebabkan ia mempunyai liputan yang terhad.
 
        Kosakowski (2000) dari California State University, Bakersfield, turut mempunyai kriteria penilaian bahan sumber internet yang dipanggil Kriteria Penilaian Tradisional. Beliau mengemukakan lima kriteria yang sebahagiannya  lebih kurang sama dengan senarai semak Perpustakaan McIntyre (2000) dan Tate (2000).  
 

 Kandungan


Langkah dan Cara Menilai serta Memilih
Bahan Sumber Internet
 
Sebelum seseorang guru itu melakukan proses penilaian dan pemilihan, dicadangkan dia harus mengikuti beberapa langkah seperti berikut:
  1. Mempunyai maklumat asas tentang bahan sumber yang akan dicari. Ia boleh berupa nama pengarang, tajuk, URL, perkara atau bidang ilmu.

  2. Mencari menggunakan enjin pencari secara rawak.

  3. Mencari Menggunakan portal yang disediakan mengikut kategori.

  4. Menanda URL di bookmark dan memasukkannya ke dalam folder yang berasingan atau menyalin URL di kertas.

  5. Previu URL yang telah ditanda menggunakan kriteria dan aspek penilaian yang telah dicadangkan.

  6. Menilai menggunakan laman web portal yang telah dikategorikan. Langkah ini dapat menjimatkan masa kerana orang lain telah membuat penilaian awal.

  7. Menilai menerusi reviu yang telah dibuat oleh orang lain.

  8. Menggugurkan URL yang telah didapati tidak sesuai.

  9. Menyimpan bookmark untuk digunakan oleh pelajar.

  10. Memaparkan bahan sumber internet yang telah dinilai dan dipilih sama ada dimuat turun, disediakan bookmark atau dibina laman web jenis portal yang mengandungi pautan-pautan ke URL bahan sumber yang telah dipilih.

 
        Dalam mengikuti langkah-langkah yang telah dicadangkan itu, terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan untuk menilai sesuatu bahan sumber dalam internet. Antara cara yang digunakan ialah:
 
a.      Menyediakan laman web penilaian dalam talian
 
        ED Oasis (2000) menyediakan laman web jenis ini yang menyediakan 15 soalan untuk dijawab oleh seseorang  pelajar terhadap pendapatnya tentang sesuatu laman web yang dinilai. Set penilaian oleh guru pula diasingkan dalam laman web yang berbeza. Skor markah yang diperolehi hasil jawapan pelajar dan guru itu terus diberi tafsiran menggunakan bintang untuk menunjukkan tahap kesesuaian bahan yang dinilai itu.
 
        Antara unsur penilaian oleh guru yang disenaraikan ialah kurikulum, standard, autoriti, bantuan aktiviti, alat bantu mengajar untuk guru, pemeringkatan bahan, kualiti kandungan, kualiti maklumat, daya interaktif, penerbitan, kebolehsambungan, reka bentuk, navigasi, ciri teknikal dan kecenderungan.
 
        Cara menilai sebegini memberikan hasil yang lebih objektif kerana setiap aspek perlu diberi skor oleh guru penilai manakala penentuan penilaian itu dibuat berdasarkan jumlah besar skor yang terkumpul.
 
b.      Rubriks
 
        Penggunaan rubriks untuk membuat penilaian juga dianggap sebagai salah satu cara yang lebih objektif berbanding penilaian umum walaupun tidak seobjektif laman web penilaian dalam talian. Pacific Bell (2000) mengemukakan tiga aspek utama penilaian, iaitu format,  kandungan dan proses pembelajaran. Setiap aspek itu diberi ciri-ciri yang sepatutnya ada pada bahan sumber internet bagi membolehkan penilai membuat rujukan dengan ciri yang terdapat pada bahan yang dinilai.
 
Format
  • Mesra pengguna, iaitu mudah digunakan.

  • Paparan pada monitor, meliputi kadar kecepatan muat turun, saiz skrin dan sebagainya.

  • Daya tarikan yang melibatkan penggunaan grafik dan warna.  

Kandungan
  • Kewibawaan

  • Kegunaan

  • Kesaratan maklumat yang mendorong pengguna melawati berulang kali.

  • Interdisiplin, gabungan disiplin ilmu lain yang dipautkan.

Proses pembelajaran
  • Pemikiran peringkat tinggi

  • Penglibatan dengan pelajar

  • Kemahiran dan bakat yang pelbagai

 

 Kandungan


 
 
            Oleh itu, amat jelas, walaupun bahan sumber yang digunakan itu mempunyai tahap penyebaran yang luas dalam internet tetapi ia tidak semestinya betul dan sesuai malah ia tidak terlepas daripada mempunyai kelemahan dan kekurangan apatah lagi jika dilihat dari sudut pendidikan.
 
        Laman web yang begitu banyak masih perlu dipilih dan dinilai sewajarnya mengikuti panduan yang telah disediakan. Penilaian secara menyeluruh tanpa merujuk kepada mana-mana senarai semak akan menjadikan bahan yang dipilih itu mungkin terlepas pandang sehingga maklumat yang tidak sesuai, bias atau yang boleh diragui ketepatannya jatuh ke tangan pelajar tanpa disedari oleh guru.
 
        Internet di tangan seorang guru yang baik akan menjadi penyumbang keberkesanan pengajaran dan  pembelajaran tetapi di tangan guru yang cuai atau leka, akan menyebabkan matlamat pengajaran dan pembelajaran menggunakan internet akan tersasar.
 

Kandungan


 
Alexander, Jan, Tate, Marsha Ann (1999). Checklist for an Infomational Web    Page.
 
 
 
 
ED’s Oasis (2000). ED’s Oasis Online Web Site Evaluation for Educators.
 
Federal Networking Council (FNC) (1995). FNC Resolution: Definition of “Internet”. http://www.fnc.gov/Internet_res.html
 
Gimon, Charles A. (2000). Internet Censorship Around the World. 
 
Harris, Robert (1997). Evaluating Internet Research Sources.
 
Inktomi.com (2000). http://www.inktomi.com/webmap/
 
Inktomi.com (2000). Web Surpasses One Billion Documents. http://www.inktomi.com/new/press/billion.html
 
Internet Resources (1999). What is the Internet, the WWW, and Netscape? An Introduction dalam Teaching Library Internet Workshops, University of California, Berkeley, USA. http://www.lib.berkeley.edu/TeachingLib/Guides/Internet/WhatIs.html
 
Kosakowski, David (2000). Evaluating Internet Resource.
 
Landsberger, Joe (2000). Evaluating Web Site Content.
 
McIntyre Library (2000). Ten C’s for Evaluating Internet Source. http://www.uwec.edu/Admin/Guides/tencs.html
 
NUA (2000). Internet Surveys. How Many Online? http://nua.ie./survey/how_many_online/index.html
 
Olin, Kroch, Uris Libraries, Cornel University (2000). Critical Analyzing Information.
 
O”Neill, Ann B. (1999). Trash or Treasure? How to Evaluate Internet Resource.
 
Owston, Ronald D. (1997). The World Wide Web: A Technology to Enhance Teaching and Learning? dalam Educational Researcher, Vol 26, No.2 March 1997, pp27-33. http://www.edu.yorku.ca/~rowston/article.html
 
Pacific Bell (2000). Blue Web’n Site Evaluation Rubric.
 
Peng Hwa Ang (2000). How Countries Are Regulating Internert Content.      http://www.isoc.org/isoc/whatis/conferences/inet/97/proceedings/BI/BI_3.HTM
 
Sherman, Chirs (2000). Censor dot Gov.
http://www.websearch.about.co…websearch/library/weekly/aa050200a.htm
 
Smith, Alastair (1997). Criteria for Evavulation of Internet.
 
Thiroux, Emily (1998). Evaluating World Wide Web Sites.
 
USIC (1999). State of Internet: USIC’s Report on Use & Threats in 1999. http://www.usic.org/papers/stateoftheinternet99.htm
 
Zakon, Robert H’obbes’ (2000). Hobbes’ Internet Timeline v5.2. http://info.isoc.org/guest/zakon/Internet/History/HIT.html
 
Utusan Malaysia, 23 Januari 2000. Pencipta Kandungan Internet Malaysia Masih Kurang.

 

 

*(Kertas kerja ini ialah kerja kursus
bagi kursus Multimedia dan Teknologi Komunikasi Dalam Pengajaran.
Tenaga Pengajar: Pn. Rosnaini bt. Mahmud.
Dikemukakan sebagai sebahagian syarat lulus kursus ini di bawah program M.Sc.)

Jika anda menggunakan kertas kerja ini sebagai bahan rujukan, sila catatkan seperti berikut:

Mohd. Zaki Hj. Awang Mat (2001). Penilaian dan Pemilihan Bahan Sumber di Internet. Uniputra, Serdang, Selangor D.E. http://www.bmspm.net/nilaiweb.htm1

Ke Menu Utama