Gerbang Maklumat BMSPM Di Hujung Jari Sejak Oktober 1998

 

SAJAK: KUDUP PERANG

 

1.0       Maksud

 

Rangkap 1

Peperangan akan mengakibatkan kezaliman dan penindasan serta  membangkitkan perasaan  dendam antara satu sama lain. Namun begitu kita perlu bersyukur kerana walau dihimpit kesengsaraan oleh perang masih ada insan yang berani untuk bangkit  berjuang walaupun dalam keadaan dikongkong dan disekat kebebasannya. Dia juga masih dapat  memberikan harapan masa depan yang lebih baik. Timbul persoalan tentang siapakah pemimpin yang sejati.

 

Rangkap 2

Kita tidak sempat menganalisis dan berfikir untuk masa depan ketika konflik dan pertarungan untuk memegang tampuk kekuasaan. Pertentangan menjadi permusuhan yang menimbulkan pelbagai tafsiran yang mengelirukan. Timbul persoalan siapakah yang akan memusnahkan pendusta?

 

Rangkap 3

Sekiranya pejuang tersebut  seperti Tuah, kita masih tidak dapat menyanjunginya sebagai seorang panglima yang paling gagah kerana keampuhan kesetiaannya terhadap kerajaan bukan menjadi ukuran teguhnya neraca keadilan. Kadang-kadang kesetiaan itu dimusnahkan oleh pengadu domba. Kesannya memberikan kesengsaraan dan penderitaan serta menjatuhkan maruah negeri.

Sekiranya pejuang tersebut seperti Jebat, kita tidak boleh melabelkannya sebagai pengkhianat  kerana kita masih mengingati keadilan yang musnah kerana fitnah yang bermaharalela. Ada orang mengaguminya sebagai  tokoh pejuang.

 

Rangkap 4

Perebutan kuasa telah melenyapkan pelbagai tipu daya yang sering dikaitkan dengan kepalsuan. Akhirnya, telah mengembalikan kebenaran kepada haknya, memberikan  kesejahteraan  dan melenyapkan perasaan dendam.

 

2.0       Tema

Peperangan mengakibatkan kezaliman dan mencetuskan semangat perjuangan

- Peperangan menyebabkan kezaliman, penindasan dan perasaan dendam. Selain itu, peperangan juga mencetuskan semangat perjuangan untuk menentang kezaliman dan menegakkan keadilan.

 

3.0       Persoalan

1.    Pengorbanan diri untuk orang lain

Contoh: kesanggupan berkorban demi menegakkan kebenaran dan keadilan

 

2.    Kesan peperangan

Contoh: dalam peperangan berlaku tipu daya dan muslihat serta telah

             membangkitkan perasaan dendam antara satu sama lain

 

3.    Menegakkan keadilan

Contoh: menjadi tanggungjawab setiap orang untuk menghentikan kezaliman

              dan penindasan demi menegakkan keadilan

 

4.    Kesetiaan terhadap negara

Contoh: setiap orang mesti menunjukkan kesetiaan terhadap negara yang

             didiaminya

 

5.    Penilaian perlu dibuat secara adil berdasarkan konteks

Contoh: Tindakan Jebat memberontak adalah untuk menuntut  keadilan

              terhadap  Tuah dan bukan penderhakaan kepada raja.

MAKLUMAN
  • Nota Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK) di atas hanya setakat persoalan sahaja.

  • Terima kasih kepada Webmaster laman web dan Blogger yang bahan sumbernya dipautkan di sini.

  • Pautan akan ditambah dari semasa ke semasa apabila lebih banyak bahan sumber dihasilkan.

Sumbangan nota dan soalan dalam pelbagai bentuk/format amat dialu-alukan. Hantarkan ke ikaz2@yahoo.com

© BMSPM 1998-2018. Hak Cipta Terpelihara. Pemberitahuan. Ke Menu Utama